Sukan

10 pasukan berentap dalam PGABS Interstate Junior Golf Tournament 2024

KUCHING: Sebanyak 10 pasukan telah mengesahkan penyertaan bagi menyertai pertandingan Persatuan Golf Amatur Bumiputera Sarawak (PGABS) Interstate Junior Golf Tournament 2024 yang akan diadakan pada 4 hingga 7 Mac 2024.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pasukan-pasukan ini melibatkan seramai 84 pemain yang merupakan atlet bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) daripada pelbagai negeri.

Beliau juga memaklumkan, dalam kejohanan berkenaan 56 orang adalah pemain di bawah kategori lelaki dan 28 orang adalah pemain di bawah kategori perempuan.

“Pasukan yang akan menyertai pertandingan ini adalah pasukan dari Perlis, Wilayah Persekutuan, Sabah, Perak, Sarawak, Kedah, Pahang, Melaka, Terengganu, Brunei dan pasukan PGABS,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Jelas Karim lagi, penganjuran pertandingan itu merupakan sebahagian daripada persediaan Sarawak untuk SUKMA yang mana Sarawak menjadi tuan rumah pada tahun ini.

Ujarnya, kejohanan tersebut diadakan dengan hanya terbuka kepada mereka yang berumur di bawah 21 tahun.

Kejohanan berkenaan yang dianjurkan oleh PGABS dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Sarawak menyediakan hadiah-hadiah wang tunai kepada pemenang bagi Acara Berpasukan dan Acara Individu.

Bagi acara berpasukan lelaki, tempat pertama akan membawa pulang wang tunai RM8,000, tempat kedua RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000.

Manakala, bagi bagi acara berpasukan perempuan, tempat pertama akan membawa pulang wang tunai RM6,000, tempat kedua RM4,000 dan tempat ketiga RM2,000.

Sementara bagi acara individu lelaki dan perempuan, tempat pertama akan membawa pulang wang tunai RM3,000, tempat kedua RM2,000, tempat ketiga RM1,500, tempat keempat RM1,000 dan tempat kelima RM800.

Bagi acara individu perempuan, tempat keenam akan membawa pulang RM700, tempat ketujuh RM600 dan tempat kelapan RM500.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *