Tempatan

102 pemohon status kewarganegaraan yang telah diluluskan masih belum menuntut sijil 

MIRI: Sebanyak 102 permohanan untuk mendapatkan status kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang telah diluluskan perlu dituntut segera pemohon.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pemohon perlu mengambil Surat Panggilan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk proses mendapatkan dokumen kewarganegaraan.

“Kita ingin memaklumkan bahawa sejumlah 102 pemohonan telah diluluskan sejak 2012 di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun mereka ini masih belum menuntut Surat Panggilan di JPN, kita telah meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa seminggu untuk memberi senarai atau maklumat pemohon agar kementerian boleh membantu menjejaki mereka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan 15A (JKSK15A) Peringkat Negeri Sarawak Bilangan 1/2022 pada Khamis. 

Tambah Dato Sri Fatimah lagi, sebelum ini pemohonan kewarganegaraan dibuat secara terus kepada KDN dan ketiadaan maklumat pemohon menyukarkan usaha untuk menjejaki alamat mereka.

“Kementerian kita akan bekerjasama dengan JPN negeri sebaik sahaja mendapat maklumat pemohon dari KDN, maka kita akan membantu mencari pemohon ini untuk diberikan status kewarganegaraan,” jelasnya.

Ia termasuk meneliti nama atau fail pemohon seterusnya mencari status pemohon dari kawasan pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Seramai 6 dari 20 pemohon dari Miri telah hadir bagi mendapatkan sijil kewarganegaraan masing-masing. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *