Tempatan

11 agensi kerajaan terima Sumbangsih Raya 2023

KUCHING: Sebanyak 11 agensi kerajaan yang terdiri daripada pasukan keselamatan dan penguatkuasaan menerima Sumbangsih Raya 2023. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata sumbangan ini merupakan tanda tulus ikhlas serta kasih sayang kerajaan Sarawak kepada anggota barisan hadapan sempena Hari Raya Aidilfitri. 

“Ketika masyarakat menyambut Hari Raya mereka (barisan hadapan) berapada di hutan, ada yang berada di perbatasan dan ada juga yang berada di laut.

“Kerajaan Sarawak menerusi kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti tampil menambah keceriaan kepada mereka, setidak-tidaknya ada hidangan jamuan raya tatkala mereka berjauhan dengan keluarga,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2023 di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Jumaat. 

Hadir sama, isteri Abang Johari, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah serta dua timbalannya, Datuk Rosey Yunus dan Mohammad Razi Sitam.

Antara agensi-agensi yang menerima sumbangan ini ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM) , Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).

Pada tahun ini, sebanyak 12,000 kontena makanan diagihkan berbanding 11,500 kontena pada tahun lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *