Tempatan

12 ADUN Bahas RUU Tafsiran (Pindaan) 2022, Diluluskan Sebulat Suara

KUCHING: Sarawak mencatat satu lagi detik bersejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Tafsiran (Pindaan) 2022 diluluskan dengan sebulat suara oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Persidangan Hari Kedua Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ke-19  di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.

Dalam sesi perbahasan, seramai 12 ADUN telah mengambil bahagian dalam RUU Tafsiran (Pindaan) 2022 yang dibentangkan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Mereka terdiri daripada ADUN Ba’kelalan, ADUN Meradong, ADUN Padungan, ADUN Mulu, ADUN Telang Usan, ADUN Bukit Semuja, ADUN Tupong, ADUN Murum, ADUN Pelagus, ADUN Daro, ADUN Batu Lintang dan ADUN Meluan. 

Pada sesi perbahasan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala memberitahu cadangan Pindaan Tafsiran (Pindaan) 2022 ini mempunyai dua objektif iaitu menambah 12 suku kaum di dalam Senarai 20 kaum anak negeri dan keduanya mengiktiraf anak-anak hasil perkahwinan campur sebagai anak jati Sarawak.

“Cadangan pindaan Ordinan Tafsiran mempunyai 2 objektif utama, iaitu pertama, menambah 12 kaum anak negeri ke dalam senarai 20 kaum anak negeri yang pada mulanya disebut dalam Perkara 161A(7) perlembagaan Persekutuan.

“Perlu diingatkan bahawa cadangan pindaan itu memberi kuasa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk menambah kaum anak negeri lain yang tidak termasuk dalam jadual melalui pemberitahuan warta. 

“Keduanya, untuk mengiktiraf anak-anak hasil perkahwinan campur sebagai anak jati Sarawak di mana salah seorang daripada ibu bapanya adalah anak negeri tetapi ini tertakluk kepada syarat dan keperluan yang dikenakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan peruntukan yang dipinda ini,” katanya. 

Ujarnya lagi, prosedur semasa untuk penentuan status anak negeri melalui permohonan kepada Mahkamah Anak Negeri Daerah masih boleh digunakan dengan beberapa pengubahsuaian yang diperlukan untuk menjadikan proses itu lebih cekap dan kurang memakan masa.

Sementara itu, ADUN Bukit Semuja John Ilus mencadangkan suku kaum Remun yang ada di kawasan Serian, Balai Ringin dan Simunjan turut disenaraikan dalam jadual tersebut sama ada secara sendiri atau dirangkumkan bersama suku kaum Iban atau Sea Dayak. 

“Di kawasan Serian, Balai Ringin dan juga Simunjan, terdapat satu suku kaum yang dinamakan Remun atau Iban Remun. 

“Mereka ada persatuan sendiri yang dinamakan ‘SIRA’ iaitu singkatan untun ‘Serian Iban Remun Association’ dan menurut sumber dari persatuan tersebut, terdapat 35 buah kampung dan mempunyai lebih 35,000 orang penduduk keturunan Remun ini. 

“Di kawasan DUN Bukit Semuja contohnya, selain Kampung Remun itu sendiri, terdapat 7 lagi kampung adalah dari suku kaum Remun,” katanya. 

Manakala, bagi ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman keputusan membawa dan membahaskan RUU Tafsiran (Pindaan) 2022 ini sangat bertepatan yang menunjukkan Kerajaan Sarawak mendengar keluhan dan permasalahan yang dihadapi rakyat. 

“Kita menerima pelbagai aduan daripada masyarakat di negeri Sarawak. 

“Apabila seseorang itu hendak membeli tanah dan rumah di mana yang berasal daripada Sarawak salah seorang ibu bapanya merupakan orang Sarawak, mereka mempunyai permasalahan untuk membeli atau memperoleh rumah. Ianya akan mengambil masa selama 6 hingga 7 bulan untuk mengesahkan bahawa beliau orang Bumiputera Sarawak. Jadi, ini adalah masalah-masalah yang ditimbulkan rakyat Sarawak. 

“Inilah masa dan menunjukkan komitednya Kerajaan GPS untuk mendengar luahan rakyat untuk mencari penyelesaian untuk bekerja ke arah menyelesaikan masalah tersebut,” katanya. 

Bagi ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, RUU Tafsiran (Pindaan) 2022 sangat penting dalam membantu penduduk asal Sarawak mengenal pasti dan mengiktiraf suku kaum masing-masing. 

“Adalah penting bahawa pindaan ini akan membantu kami dalam mengenal pasti, mengiktiraf dan memberi perhatian sewajarnya yang penting. 

“Kini setiap kumpulan etnik yang mendiami tanah ini akan diiktiraf dan tiada siapa yang perlu berasa tersisih,” katanya. 

Sementara itu, ADUN Daro Safiee Ahmad menegaskan Kerajaan Sarawak mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan sendiri senarai etnik pribumi Sarawak khususnya Sarawak merupakan negeri yang mempunyai bilangan etnik terbesar di seluruh Malaysia. 

Untuk itu, perkara ini perlu dilaksanakan secara terperinci dan menyeluruh bagi memastikan tiada satu pun etnik pribumi yang tercicir, termasuk meneliti semua etnik pribumi yang tidak tersenarai sebelum ini dimasukkan.

“Ini juga untuk memastikan supaya tiada mana-mana individu dengan matlamat untuk mengambil kesempatan atas keistimewaaan ini demi kepentingan diri mereka, seperti memiliki tanah adat dan sebagainya. 

“Turut ingin saya tegaskan di sini, penggubalan Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk menjamin hak keistimewaan etnik pribumi Sarawak akan terus terpelihara dan tidak ada mana-mana etnik Pribumi Sarawak akan merasa tergugat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *