Tempatan

121 keluarga terjejas banjir kilat di Kuching, Bau dipindah ke PPS

KUCHING: Keluarga yang terjejas berikutan banjir kilat di Kuching dan Bau telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah dibuka dan beroperasi seawal jam 6.55 pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberitahu, seramai 356 orang daripada 121 keluarga terjejas banjir di bahagian Kuching dan telah ditempatkan di tiga PPS.

“Ketiga-tiga PPS tersebut ialah Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru dan Dewan Masyarakat Stapok di daerah Kuching termasuk Dewan Kampung Segong di daerah Bau,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, JPBNS memaklumkan bahawa, menurut laporan yang diterima daripada Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sarawak (APM), setakat jam 12 tengah hari, PPS Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru telah menempatkan 194 mangsa daripada 82 keluarga dari Kampung Sinar Budi Baru dan PPS Dewan Masyarakat Stapok menempatkan 98 mangsa daripada 23 keluarga dari kawasan Desa Wira.

Bagi daerah Bau pula, PPS Dewan Kampung Segong telah menempatkan 64 mangsa daripada 16 keluarga dari Kampung Segong Bau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *