Tempatan

17,781 kanak-kanak mula sesi persekolahan di TABIKA & TASKA KEMAS di Sarawak

KUCHING: Seramai 17,781 kanak-kanak dari Taman Bimbingan (TABIKA) dan Taman Asuhan (TASKA) KEMAS seluruh Sarawak, telah memulakan sesi persekolahan tahun 2024/2025, yang bermula 11 Mac 2024.

Menurut Pengarah KEMAS Negeri Sarawak Anisah Saidin, kesemua pelajar itu akan menjalani tempoh transisi atau pengenalan selama tiga bulan dengan menggunakan Program S.A.LA.M Sahsiah Lambang Modal Insan Unggul.

“Pelaksanaan aktiviti sepanjang Program SALAM merupakan aktiviti pembelajaran kanak-kanak yang bermakna, sebagai pengenalan awal mereka kepada sesi persekolahan di TABIKA KEMAS.

“Program ini juga bertujuan untuk  membentuk sahsiah diri kanak-kanak yang unggul disamping melahirkan kanak-kanak “Ceria, Cerdas dan Cerdik”.

“Mereka akan menjalani pelbagai aktiviti, bagi memberi kanak-kanak ruang untuk membiasakan diri dengan suasana di TABIKA dan TASKA dan membina keyakinan dan perkenalan bersama rakan-rakan dan Pendidik Masyarakat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan KEMAS Sarawak semalam.

Selain itu, Anisah memberitahu, kanak-kanak di TABIKA atau TASKA akan disediakan makanan sihat secara percuma melalui geran tahunan (GPK) yang disediakan oleh kerajaan.

“Dengan adanya pemakanan yang seimbang, sudah pasti dapat meningkatkan minda yang cerdas, sihat dan tumbesaran kanak-kanak dengan lebih baik lagi,”ujarnya.

Tegas beliau lagi, kanak-kanak dibimbing dan diasuh oleh Pendidik Masyarakat KEMAS yang terlatih, berkemahiran serta mereka yang memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Ujarnya, ibu bapa disaran agar memilih TABIKA atau TASKA kelolaan KEMAS kerana telah diiktiraf sebagai jenama yang dipercayai oleh Readers Digest dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di negara ini buat kali keempat.

“Pencapaian ini sejajar dengan hasrat menjadikan tabika KEMAS sebagai pilihan utama ibu bapa dengan menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti serta melahirkan modal insan yang unggul.

“Justeru itu, pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam memastikan pembangunan murid yang holistik mencakupi aspek jasmani, emosi, sosial, intelek dan rohani dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif dan interaktif.

“Pada peringkat ini, murid akan dibimbing dengan kemahiran keyakinan dan membentuk konsep kendiri yang positif berasaskan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) sebagai persediaan untuk mengikuti pendidikan di peringkat sekolah rendah kelak”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *