Tempatan

18,301 kanak-kanak di Sarawak telah menerima vaksin dos pertama

KUCHING: Seramai 18.301 orang atau 4.1 peratus kanak-kanak yang berusia 5 hingga 11 tahun di Sarawak telah menerima vaksin COVID-19 dos pertama setakat 9 Februari 2022. 

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata angka itu menyumbang kepada 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak di negara ini yang telah mendapatkan suntikan dos pertama mereka.

“Ini memberi semangat dan perangsang kepada negeri-negeri lain. Kita perlu ikut jejak langkah Sarawak dengan melihat kepada kesungguhan, kerajinan, ketekunan dan fokus semua yang terlibat dalam program vaksinasi ini,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian vaksin (PPV) Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Klinik Kesihatan Batu Kawa pada Khamis. 

Sarawak telah memulakan PICKids sejak 3 Februari lepas dengan 286,000 kanak-kanak layak divaksin atau 10.1 peratus daripada jumlah populasi di negeri ini.

Menurut Dr Noor Azmi lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan sejumlah 70 peratus kanak-kanak dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos pertama vaksin COVID-19 bagi tempoh dua bulan sejak pelaksanaannya dimulakan.

“Kini dua juta pelajar telah berada di sekolah, sekolah dah buka…jadi ini memudahkan proses vaksinasi, tidak perlu ke mana-mana, hanya laksanakan di sekolah.

“Kalau habis kanak-kanak sekolah ini divaksin, bermakna 70 peratus daripada kanak-kanak kita telah divaksin,” katanya.

Walaupun jangkitan COVID-19 terhadap kanak-kanak tidak serius namun kerajaan tetap prihatin dan menggesa ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksinasi mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *