Tempatan

2 lelaki ditahan dalam kejadian berasingan di Kuching

KUCHING: Seorang lelaki telah ditahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kecederaan parah.

Ini selepas dia memukul seorang lelaki ketika membantu mengawal lalu lintas dalam satu kemalangan maut melibatkan sebuah lori dan motosikal di Jalan Astana pada 20 April lepas

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah, sebutan semula kes tersebut akan dibuat pada 31 Mei ini.

Katanya, suspek yang berusia 42 tahun dan berniaga sendiri memiliki empat kes jenayah lampau yang sedang disiasat dan 3 kes dadah juga masih dalam siasatan.

Beliau memberitahu mangsa 58 tahun yang bekerja sebagai Pembantu Am di Jabatan Kerajaan Sarawak mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala akibat dipukul suspek dengan menggunakan objek tumpul.

ACP Ahsmon berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan kes tersebut di Kuching pada Rabu.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki yang berkelakuan seperti samseng jalanan telah ditahan kurang dari 24 jam selepas satu video tular di media sosial pada 1 Mei lepas.

Ujarnya, suspek yang memandu kereta jenis Toyota Fortuner memandu secara merbahaya dan bertindak menghalang sebuah kenderaan di Jalan Tun Abang Haji Openg berdekatan Wisma Saberkas serta mengeluarkan kata-kata ugutan sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

Kes dirujuk kepada Pejabat Peguam Negeri untuk dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, ACP Ahsmon meminta orang ramai untuk tidak takut melaporkan kejadian samseng jalanan atau buli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *