Tempatan

245 daripada 455 sekolah usang selesai dibina di Sarawak

KUCHING: Sebanyak 245 daripada 455 projek baik pulih, bina semula atau penempatan semula sekolah usang telah selesai dibina di Sarawak.

Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee In, 565 lagi sekolah daif masih dalam pertimbangan untuk dibina.

“Pada tahun 2016, jumlah sekolah daif di Sarawak ialah 1,020 di mana 415 daripadanya dianggap kategori DS3 sementara 210 sekolah sebagai kategori DS2 dan 395 sebagai kategori DS1. Sehingga kini sebanyak 455 sekolah daif usang dalam tiga kategori itu telah diliputi dibawah pelbagai projek baik pulih, bina semula atau penempatan semula sekolah.

“Daripada jumlah itu 245 projek telah disiapkan dan 565 sekolah masih dalam pertimbangan untuk pembangunan di masa depan,” katanya.

Beliau berucap dalam penggulungan bagi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.

Ujar Datuk Roland Sagah lagi, untuk kategori berkenaan DS1 ia adalah merujuk kepada 25 peratus bangunan usang, bangunan berusia 30 hingga 40 tahun dan sebahagian bangunan berasaskan kayu dengan kerosakan minimum yang hanya memerlukan penyelenggaraan.

Manakala, DS2 merujuk kepada 50 peratus bangunan usang, bangunan berusia 40 hingga 50 tahun yang kebanyakannya berasaskan kayu dengan lebih banyak kerosakan fizikal yang memerlukan pembaikan dan penyelenggaraan.

DS3 pula adalah 75 peratus usang, bangunan berusia lebih 50 tahun yang semuanya berasaskan kayu dan mengalami kerosakan struktur yang besar.

Tambah beliau lagi, dari segi pembiayaan projek tersebut, sejak 2016, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan telah memperuntukkan kira-kira RM1.7 bilion untuk 242 projek pembangunan sekolah.

“Sebaliknya Kerajaan Sarawak telah menyediakan kira-kira RM1.3 bilion untuk 213 projek pembangunan sekolah antaranya bayaran pendahuluan RM1 Bilion kepada Kerajaan Persekutuan, Projek Rakyat (RM140 juta), dan menaik taraf sekolah di bawah RECODA (RM160 juta).

“Dengan itu saya ingin memaklumkan memandangkan masih banyak sekolah daif di seluruh Sarawak dan kekangan pembiayaan, kita perlu mengutamakan pembangunan kepada sekolah daif,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *