Tempatan

29 notis pelbagai kesalahan telah dikeluar di bazar ramadan sekitar Kuching

KUCHING: Sebanyak 29 notis di bawah Peraturan Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan di Bahagian Kuching terhadap pengendali makanan di atas pelbagai kesalahan di Bazar Ramadan.

Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching Dr Johnny Pangkas menjelaskan, notis-notis yang dikeluarkan adalah berkaitan dengan kesalahan tidak mempraktikkan keselamatan pengendalian makanan, menggunakan aksesori dan penggunaan pakaian yang tidak bersih semasa mengendalikan makanan.

“Kita ada mengeluarkan empat notis berkaitan dengan kesalahan menggunakan aksesori termasuk penggunaan cincin dan jam tangan semasa mengendalikan makanan dan enam notis berkaitan menggunakan pakaian (apron) atau jenis pakaian yang tidak bersih semasa mengendalikan makanan.

“Ini adalah notis yang dikeluarkan kepada pengendali makanan yang berkaitan dengan bazar ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Bazar Ramadan Medan Niaga Satok yang telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman hari ini.

Johnny memaklumkan, sebanyak 13 notis dikeluarkan di bazar Ramadan Emart Batu Kawa  dan  16 notis di bazar Ramadan Emart Matang.

Katanya, notis-notis berkenaan telah mula dikeluarkan dalam Operasi Ramadan 2024 sejak 12 Mac 2024.

Operasi tersebut menurutnya melibatkan seramai 20 anggota dari Unit Keselamatan Kualiti Makanan dan Unit Promosi Kesihatan, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.

Ditanya mengenai laporan berhubung makanan basi di bazar ramadan, Johnny mendedahkan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai perkara itu setakat ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *