KUALA LUMPUR: Tiga adik beradik yang merupakan anak kepada pasangan suami isteri yang meninggal dunia dipercayai akibat renjatan elektrik akan dibawa pulang ke Sarawak pada Rabu.
Menurut Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof ketiga-tiga mereka akan dibawa abang kepada mendiang Ronwina, Robert Adi, 43 tahun dan isterinya Kelly Jhon, 36 tahun yang telah diterbangkan segera ke Kuala Lumpur selepas kejadian itu.
“Segala urusan penerbangan membawa pulang tiga beradik dan waris terlibat serta penginapan transit juga urusan pengkebumian kedua-dua mangsa telah dibiayai sepenuhnya oleh Sarawak Volunteers dengan bantuan Rumah Sarawak di Kuala Lumpur,” katanya menerusi Facebook rasmi beliau pada Selasa.
Terdahulu Dato Sri Fadillah telah menziarahi waris dan tiga adik beradik anak mendiang Damian dan mendiang Ronwina Mambai yang meninggal dunia dipercayai akibat renjatan elektrik dalam kejadian di Taman Tringkap Puncak, Cameron Highlands, pagi Khamis lalu.
Tiga beradik berkenaan Elisa Olivia Damian, 10 tahun, Joseph Rayyan Damian, 8 tahun dan Magdalena Damian, 2 tahun akan dihantar pulang ke Kuching pada esok hari.
Ketika ini hak penjagaan sementara bagi tiga adik beradik itu diberikan kepada bapa saudara mereka.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memberitahu urusan membantu keluarga berkenaan telah digerakkan segera sejak hari kejadian bersama dengan Pegawai Rumah Sarawak.
“Sarawak Volunteers telah bergegas ke Cameron Highlands sebaik sahaja menerima berita mengenai kejadian itu pada Khamis lalu, bagi menghulurkan bantuan yang diperlukan.
“Terima kasih kepada Rumah Sarawak di Kuala Lumpur diketuai Pengarahnya, Awang Supian Awang Daud yang telah banyak membantu mempermudahkan segala urusan membantu keluarga berkenaan,” katanya.