Tempatan

3 buah kampung akan mula berpindah ke Projek Perumahan Darul Hana bermula 1 Ogos ini

KUCHING: Penduduk di tiga buah kampung dari Seberang Hilir akan berpindah di Projek Perumahan Darul Hana bermula 1 Ogos ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia melibatkan 503 penduduk dari Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Pulo.

“Kita telah mengadakan sesi dialog dengan setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat bagi mereka mengajukan sebarang pertanyaan mengenai proses pemindahan tersebut.

“Proses ‘land inquiry’ akan diadakan pada bulan ini yang akan mengambil masa selama dua minggu dan penduduk kampung akan diberikan penerangan mengenainya serta menyampaikan sebarang kemusykilan kepada agensi-agensi terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Agihan Bubur Lambuk Kejiranan Mesra (KJM) Sungai Boyan Gersik Sourabaya (BGS) di Tebingan Sungai BGS Kampung Sourabaya Hilir Kuching pada Ahad.

Jelas Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, soalan yang kerap diajukan KIR semasa sesi dialog ialah mengenai pampasan yang akan diterima mereka.

Katanya, nilai pampasan yang ciri utama ialah rumah yang mereka duduki dan akan dimaklumkan Jabatan Tanah dan Survey (JTS) semasa proses land inquiry.

Sementara itu, Kerajaan Sarawak telah bersedia sepenuhnya menerima kehadiran penduduk dari tiga buah kampung itu dengan tarikh pindah dimaklumkan dalam mesyuarat ya g dipengerusikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

“Semua agensi yang terlibat telah bersedia sepenuhnya dan bermula bulan ini hingga Julai ia akan digunakan sepenuhnya KIR untuk membuat persiapan sebelum berpindah pada 1 Ogos nanti.

“Mereka (KIR) tidak perlu mengeluarkan sebarang dana atau wang untuk berpindah sebaliknya hanya perlu membuat persediaan bagi menjadi penghuni pertama yang mendiami kawasan Darul Hana,” jelasnya.

Sementara itu, dalam program tersebut sebanyak 500 bungkus bubur lambuk telah diagihkan kepada masyarakat sebagai juadah berbuka puasa. -SN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *