Tempatan

3 feri ditambah di Pangkalan Feri Batang Igan pada Syawal ini

MUKAH: Sebanyak tiga buah feri akan ditambah dan dijangka beroperasi serentak di Pangkalan Feri Batang Igan pada bulan Ramadan dan Syawal ini.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak ( Integriti dan Ombudsman) Dato’ Dr Juanda Jaya, beliau telah menulis surat permohonan kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagi memastikan tambahan feri itu dapat dilaksanakan untuk mengurangkan kesesakan pada musim perayaan nanti.

“Seminggu yang lalu kita memohon tambahan tiga buah feri yang mesti beroperasi serentak, daripada awal pagi hingga berakhir jam 1.00 pagi keesokan harinya dan beroperasi selama seminggu selepas hari raya. Kita pohon pihak berkuasa agar membantu kita dengan sesegera yang mungkin.

“Ini memastikan kemudahan rakyat yang pulang ke kampung, sama ada untuk berbuka puasa atau berhari raya khasnya dalam menziarahi sanak saudara, tidak akan berlaku kesesakan seperti yang berlaku di pangkalan feri yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam lawatan kerjanya ke Pangkalan Feri Batang Igan dan sekitar Kampung Igan pada Isnin.

Dato’ Dr Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana memberi jawapan positif dalam perkara ini.

“Untuk itu, kita memohon kepada masyarakat yang menggunakan kemudahan feri ini agar sentiasa berhati-hati, sentiasa menjaga keselamatan dan patuhi arahan pihak operator feri.

“Saya juga berharap agar semua penduduk Igan yang ada menggunakan feri berkenaan sentiasa bersabar kerana kesekakan berlaku adalah lazimnya akibat pertambahan kedatangan kereta yang pulang untuk berhari raya di kampung halaman,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dato Dr Juanda lagi memaklumkan JKR telah memeriksa feri berkenaan dan mendapati terdapat beberapa kerosakan yang perlu diperbaiki bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan feri tersebut.

“Alhamdullilah kerosakan itu telah dimaklumkan kepada pihak ibu pejabat JKR di Kuching pada bulan tiga yang lalu dan JKR akan melakukan pembaikan dengan segera,” jelasnya.

Setiap tahun, menjadi cabaran bagi penduduk yang ingin pulang ke kampung halaman mereka di kawasan Jemoreng atau Daro terpaksa menggunakan feri Batang Igan yang akan berbaris panjang untuk menunggu giliran menaiki feri kerana jumlahnya terlalu terhad tetapi bilangan kenderaan begitu banyak pada satu-satu masa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *