KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian memberitahu sekitar 30 hingga 40 peratus kanak-kanak yang layak berumur lima hingga 11 tahun di negeri ini tidak menghadiri janji temu vaksinasi mereka.
Jelas Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, perkara tersebut agak menyedihkan walaupun Sarawak merupakan antara negeri yang mencapai peratusan tertinggi dalam pemberian vaksin kanak-kanak.
Katanya, Sarawak perlu melakukan lebih baik daripada ini berikutan lonjakan penularan varian Omicron di negeri ini ketika ini yang menyaksikan peningkatan bilangan jangkitan terhadap kanak-kanak.
“Oleh itu, kita memerlukan sokongan padu daripada ibu bapa dan guru bagi melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) ini.
“Ia perlu dilakukan secepat mungkin kerana Sarawak mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi sekali gus usaha mengekang penularan Omicron,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Sim memberitahu sebanyak 48,000 lagi dos vaksin Pfizer untuk PICKids tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Jumaat.
Setakat 12 Februari lalu, sebanyak 19,430 atau 6.8 peratus daripada keseluruhan 286,000 kanak-kanak di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin mereka.
Kerajaan Sarawak dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan 50 peratus kanak-kanak yang layak menerima vaksin Covid-19 bagi dos pertama pada akhir Februari ini. – SN