Tempatan

33 projek sambungan, 13 projek baharu sektor air di Sarawak akan dilaksana

KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mengesahkan kelulusan sejumlah 33 projek sambungan dan 13 projek baharu dalam sektor air di Sarawak.

Menterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, projek-projek ini meliputi pelbagai aspek seperti perlindungan banjir, hakisan pantai, dan pembangunan loji rawatan air.

“Projek-projek yang diluluskan itu merangkumi perlindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai, pemuliharaan muara, kajian pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu, pembangunan loji rawatan kumbahan, loji rawatan enapcemar, pembangunan sistem pembetungan dan menaik taraf loji rawatan air,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Fadillah menyatakan bahawa kos keseluruhan bagi 46 projek tersebut ialah RM6.01 bilion, yang akan memberi manfaat kepada penduduk Sarawak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM298 juta telah diluluskan bagi pelaksanaan projek-projek ini pada tahun ini.

Selain itu, beliau juga mendedahkan, sebuah jawatankuasa penyelarasan antara PETRA dan Kerajaan Sarawak akan dibentuk bagi memastikan program dan projek berjalan lancar demi kepentingan rakyat negeri ini dan negara.

Katanya lagi, keputusan itu telah dipersetujui dalam satu mesyuarat antara PETRA dan wakil Kerajaan Sarawak yang diketuai oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Isnin.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ketua Setiausaha PETRA, Dato’ Mad Zaidi Mohd Karli dan Peguam Besar Sarawak, Datu Saferi Ali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *