Tempatan

3,695 bergelar graduan di empat sidang Konvokesyen Komemoratif UNIMAS

KOTA SAMARAHAN: Konvokesyen Komemoratif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyaksikan seramai 3,695 orang graduan akan memperolehi ijazah masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian dari ijazah Doktor Falsafah, ijazah Sarjana dan ijazah Sarjana Muda.

Pengisytiharan Konvokesyen Komemoratif telah disempurnakan Premier Sarawak merangkap Pro-Canselor UNIMAS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada sidang pertama yang berlangsung hari ini.

Konvokesyen Komemoratif UNIMAS ini adalah bagi meraikan graduan pada tahun 2020 yang layak bergraduat namun istiadat konvokesyen tidak dapat diadakan secara bersemuka disebabkan pandemik COVID-19.

Secara keseluruhan, jumlah graduan pada konvokesyen Komemoratif UNIMAS kali ini melibatkan 195 graduan PhD dan Sarjana. 

Manakala 3,500 graduan lagi adalah bagi peringkat Sarjana Muda dari fakulti yang terdapat di UNIMAS iaitu 64 orang adalah graduan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, 375 graduan (Fakulti Kejuruteraan),425 graduan (Fakuiti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia), 318 graduan (Fakuiti Seni Gunaan dan Kreatif), 387 graduan (Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat), 471 graduan (Fakulti Sains dan Teknologi Sumber), 581 graduan (Fakulti Ekonomi dan Perniagaan), 155 graduan (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan) dan 575 graduan (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan).

Dalam sidang pertama hari ini, turut disempurnakan ialah penyampaian anugerah-anugerah akademik seperti Anugerah Pelajaran DiRaja, Anugerah Canselor dan Anugerah Pro-Canselor.

Pemilihan ini mengambil kriteria graduan yang terpilih menerusi kecemerlangan mereka dalam akademik dan kokurikulum sepanjang pengajian di universiti ini.

Dalam sidang pertama hari ini, turut disempurnakan ialah istiadat pemahsyuran Pro Canselor kelima UNIMAS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang disempurnakan oleh Pro-Canselor, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *