Nasional Rencana

6 sahabat yang juga graduan UiTM kongsi kegembiraan rangkul Anugerah Naib Canselor

SHAH ALAM: Enam sahabat yang juga graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkongsi kegembiraan apabila masing-masing berjaya merangkul Anugerah Naib Canselor (ANC) pada Istiadat Konvokesyen UiTM di sini, semalam.

Kesemua graduan yang berusia 25 tahun itu adalah penerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi dan Pengurusan Perladangan dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi.

Menurut Ahmad Lukman Rusli, kejayaannya bersama lima rakan lain iaitu Nur Shazwani Ahajani, Nurul Khalidah Khalid, Shahrul Hakem Mohamed Shahrom, Anis Farieda Sharudin dan Siti Nur Arifah Ibrahim adalah usaha bersama yang digarab ketika menuntut ilmu di universiti itu.

Katanya, dia bersama lima sahabat tidak menafikan restu, doa ibu bapa serta sokongan keluarga menjadi faktor kejayaan mereka selain tunjuk ajar daripada pensyarah.

“Mengenai cara pembelajaran, ia bermula dengan satu tekad yang mana kami ingin dapatkan anugerah ini bersama-sama sejak hari pertama kami melangkah ke UiTM.

“Selain pembelajaran di bilik kuliah, kami juga suka mencabar diri dengan mengikuti pelbagai pertandingan yang dianjurkan oleh pihak fakulti, universiti serta pembabitan antarabangsa dan pernah memenangi pelbagai pertandingan inovasi dalam bidang teknologi perladangan.

“Kami sentiasa berpegang teguh pada prinsip untuk berjaya secara berkumpulan, bukan individu semata-mata.

“Ini bukannya saat untuk kami mementingkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mereka berenam sentiasa melakukan tugasan dalam berkumpulan dengan banyak berbincang, mendengar idea dan menilai pendapat masing-masing bagi menzahirkan sesuatu yang berkualiti.

Katanya, mereka juga saling menerima dan menghormati pendapat masing-masing dan berlapang dada sekiranya ada perbezaan pandangan yang mana perbezaan itu dijadikan peluang untuk menambah pengetahuan satu sama lain.

“Pada masa yang sama, setiap apa yang dilakukan, kami lebih fokus memikirkan mengenai bagaimana kami dapat bekerjasama termasuk berkongsi idea, tips atau apa sahaja yang membantu kami untuk lebih berjaya.

“Bagi kami, kejayaan itu apabila semua berjaya mencapai sesuatu yang diimpikan, tanpa ada yang terpinggir, itulah kejayaan terbesar kerana pada pendapat kami, lebih mudah untuk berjaya secara individu, tetapi untuk mengekalkan sebuah kumpulan dalam momentum yang sama ia memerlukan usaha dan pengorbanan yang lebih besar.

“Perjalanan ini adalah suatu kerja keras yang sangat berbaloi lebih-lebih lagi apabila dapat melihat senyuman terukir di wajah ahli keluarga masing-masing sebagai tanda bahagia dan bangga,” katanya.-HARIAN METRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *