Rencana

7 juta kenderaan usang, apa langkah penyelesaiannya di Malaysia?

Ramai ‘terseksa’ serta ‘sakit mata’ melihat kenderaan usang dibiar begitu saja sama ada di tepi jalan malah di kawasan perumahan.

Ada kalanya, usia kenderaan usang itu lebih ‘tua’ berbanding penghuni sesebuah kawasan perumahan.

Ada yang ‘diangkut’, dicuri aksesori dan pelbagai lagi namun jumlahnya seolah-olah tidak pernah berkurang malah boleh dilihat di mana-mana lokasi.

Apa puncanya lambakan kenderaan usang ini? Apa penyelesaiannya?

Ikuti wawancara Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) PROF DR ROZMI ISMAIL bersama wartawan, MUHAMAAD RAZIS ISMAIL bagi merungkai isu ini.

Jumlah kenderaan usang di Malaysia?

Dianggarkan, terdapat kira-kira tujuh juta kenderaan usang yang tersadai di seluruh negara.

Kenderaan ini terbiar di kawasan taman perumahan, padang permainan, di bahu jalan dan sebagainya dalam tempoh yang sangat lama.

Ia bukan sahaja mencacatkan pemandangan dan boleh memberi kesan kepada alam sekitar malah turut menjadi penyumbang terhadap masalah kesesakan.

Kenderaan usang yang terbiar ini memakan ruang apabila ia ditinggalkan di bahu jalan sehingga menyebabkan jalan menjadi sempit.

Ia menjadi antara punca kesesakan jalan raya yang serius sejak kebelakangan ini yang mana jumlah kenderaan sentiasa bertambah namun pada masa sama, kenderaan lama tidak dilupuskan.

Mengapa ada lambakan kenderaan usang?

Lambakan kenderaan usang ini berlaku berikutan masih belum ada polisi yang membolehkan tindakan sewajarnya diambil dalam menangani permasalahan ini.

Pada masa sama, tahap kesedaran masyarakat yang masih kurang apabila masih ingin menyimpan kenderaan usang ini dengan pelbagai alasan termasuk kononnya ia mempunyai nilai sentimental menjadikan masalah ini semakin serius.

Sebaliknya, di beberapa negara maju, polisi ini sudah lama dilaksanakan dan ia berjaya mengatasi masalah lambakan kenderaan usang.

Jepun, Singapura dan Eropah umpamanya sudah melaksanakan polisi 10 tahun jangka hayat kenderaan.

Di Singapura misalnya, selepas 10 tahun, pemilik diberi pilihan untuk ‘menamatkan’ riwayat kenderaan atau membayar sejumlah wang untuk menyambung pemilikan dan penggunaannya di jalan raya.

Di Jepun, setiap tiga tahun selepas dibeli, pemilik mesti melakukan pemeriksaan keselamatan kenderaan masing-masing manakala kenderaan berusia lebih 10 tahun mesti lulus pemeriksaan keselamatan yang ketat pada setiap tahun sebelum dibenarkan berada di jalan raya.

Sebahagian besar pemilik kereta di negara maju ini akan menamatkan riwayat kereta mereka selepas 10 tahun dan membeli kenderaan baharu.

Adakah boleh polisi seperti ini dilaksanakan di Malaysia?

Untuk memperkenalkan polisi seperti ini di Malaysia, kerajaan perlu mengambil kira banyak perkara seperti golongan berpendapatan rendah dan lain-lain.

Selain itu, kerajaan juga perlu meningkatkan kualiti pengangkutan awam bagi menggalakkan orang awam menggunakan perkhidmatan seperti bas, komuter dan lain-lain.

Kualiti pengangkutan awam perlu ditingkatkan kerana ia juga satu daripada kaedah yang boleh digunakan bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya melampau.

Boleh Dr kongsikan kajian dijalankan berkaitan isu ini?

Kami menjalankan kajian berkenaan polisi lupus kenderaan (ELV) terhadap kenderaan usang yang tersadai dan ia membabitkan Fakulti Sains Sosial, Undang-undang dan Kejuruteraan UKM.

Kita mahu melihat daripada semua aspek bagi memastikan polisi ini dapat dilihat secara menyeluruh, sekali gus membuka mata masyarakat berkaitan kepentingan melupuskan kenderaan usang.

Sehingga kini, kajian sudah 50 peratus siap dan dijangka selesai sepenuhnya pada tahun depan sebelum kita cadangkan kepada kerajaan.

Berkaitan usia kenderaan yang wajar dilupuskan, sehingga kini, ia masih belum diputuskan.

Ini kerana kajian ini masih berjalan dengan turut mengambil kira pandangan pemegang taruh termasuk pengeluar kenderaan, masyarakat, pihak insurans dan pihak berkuasa tempatan.

Jumlah kenderaan lama masih digunakan berdasarkan kajian Dr?

Ada kemungkinan, mungkin separuh daripada kenderaan berdaftar pada tahun ini membabitkan kenderaan berusia lebih 10 tahun.

Data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 2010 sahaja menunjukkan, daripada 20 juta kenderaan berdaftar pada tahun itu, kira-kira lima juta adalah kenderaan usang yang berusia lebih 10 tahun ke atas.

Tahap kemampuan kenderaan ini sama ada masih boleh beroperasi dengan baik atau sebaliknya juga adalah subjektif kerana ia perlu mengambil kira faktor lain seperti cara penggunaan, kekerapan kenderaan digunakan, penyelenggaraan dan sebagainya.

Lembah Klang kini alami kesesakan teruk. Komen?

Ia berlaku disebabkan jalan sedia ada tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah.

Pada masa sama, masyarakat juga masih kurang berminat untuk menggunakan pengangkutan awam.-HMETRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *