Sukan

70 petinju hangatkan NSIX Muaythai Challenge 2022

KUCHING: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Pusat Khidmat N6 Tupong, Persatuan Muaythai Kuching dan agensi berkaitan akan menganjurkan NSIX Muaythai Challenge 2022 (NSIXMC 22) dari 4 hingga 5 Jun ini.

Kejohanan selama dua hari itu bagi merebut Piala YB Fazzrudin Abdul Rahman dan Piala Belia N6 akan diadakan di Dewan Serbaguna AKMAL, Akademi Latihan Kastam Diraja Malaysia Cawangan Sarawak, Jalan Matang.

Ia akan mempertandingkan lapan kategori membabitkan penyertaan kira-kira 70 peserta dengan sasaran petinju dari sekitar Kuching dan Petra Jaya khasnya.

Tumpuan aksi adalah terarah kepada perlawanan bagi merebut Piala Pusingan YB Fazz iaitu Piala YB Fazz Kategori Belia (50-51Kg) S4 (18 Tahun Ke atas) dan Piala YB Fazz Kategori Junior (38-42KG) S4 (13 Tahun Ke bawah).

Tidak kurang menariknya pertembungan bagi merebut Piala Belia N6 Tupong Petrajaya (63.5-67kg) S4 (18 Tahun Ke Atas), Piala Belia N6 Tupong Petrajaya (63.5-67kg) S4 (18 Tahun & Ke bawah) dan Piala Belia N6 Tupong Petrajaya (25 – 27 Kg) S4 (12 Tahun).

Ia termasuk dua pertembungan utama iaitu Superfight Jemputan Borneo (7 Regu/Bout) dan Superfight Amatur Nsix Muaythai Challenge (17 Regu/Bout).

Bagi merancakkan lagi cabaran tersebut, penganjur turut memperkenalkan perlawanan istimewa bagi merebut Piala YB Dato’ Sri Fadillah Yusof.

Pada Jumaat telah diadakan sesi ringkas penyerahan piala cabaran disempurnakan oleh ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman kepada Pengarah Kejohanan, Azmanni Mohamed bertempat di Pusat Khidmat ADUN Tupong.

Ia turut dihadiri Presiden Persatuan Muaythai Kuching, Hasbi Bolhi dan Timbalan Pengarah Kejohanan, Norizan Ibrahim.

Menurut Azmanni, NSIXMC 22 akan menjadi platform untuk Program Pembangunan Muaythai Kem Bakat/Mari Mencuba Sukan Muaythai.

“Penganjuran cabaran ini bertujuan memperkenalkan dan mengembangkan sukan muaythai di Sarawak, selain menggalakkan remaja untuk bergiat cergas dalam aktiviti sukan di samping mengurangkan gejala tidak sihat di kalangan remaja dengan adanya promosi secara tidak langsung di dalam perlawanan pro atau amatur.

“Selain itu, ia juga bagi membantu menjayakan matlamat dan meningkatkan kecemerlangan dalam bidang sukan muaythai di pelbagai lapisan masyarakat dengan adanya pendedahan kepada kaedah perlawanan pro atau amatur.

“Aktiviti ini boleh menjadi pemangkin kepada kejohanan yang lebih besar pada masa akan datang yang lebih bersifat nasional di samping mencipta jenama sukan di negara seperti sukan yang lain,” katanya.

Jelas beliau, kejohanan itu juga meletakkan fokus untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat tentang sukan muaythai dan penjagaan kesihatan melalui aktiviti sihat.

Tambahnya, Kejohanan Muaythai Amatur N6 untuk regu amatur adalah sesi untuk peninju kelab kelab muaythai di Sarawak bertarung dengan berat kategori masing-masing bagi acara amatur setelah di selaras oleh Jawatan Penyelarasan Regu Kejohanan.

Untuk peserta kem bakat dan mari mencuba sukan muaythai, peserta adalah dari sekitar Kuching. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *