Nasional

7,269 tangkapan salah guna dadah, substance di Sarawak pada 2021

SIBU: Sarawak merekodkan sebanyak 7,269 tangkapan yang melibatkan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2021, demikian dedah Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Mohamad Razi Sitam.

Katanya, daripada jumlah tersebut, Daerah Kuching mencatatkan tangkapan tertinggi seramai 1,859 orang, disusuli Miri (640), Sibu (613), Bintulu (589) dan Samarahan (489).

Jelas beliau, berdasarkan formula ‘extrapolasi United Nations for Drugs and Crimes’ (UNODC), jumlah tersebut digandakan dengan empat kerana setiap yang terjebak kebiasaannya melibatkan empat orang rakan yang lain.

Berucap pada penutupan Bengkel Pelaksanaan Pelan Tindakan Daerah Kanowit Bebas Dadah di Sibu pada Khamis, Razi menambah sebanyak 23 tangkapan direkodkan di Daerah Kanowit.

“Pada tahun ini iaitu Januari 2022, sebanyak enam tangkapan telah dibuat di Kanowit. Baru sahaja awal tahun angka ini agak kurang menyenangkan memandangkan daerah ini berada di luar bandar.

“Oleh itu, bengkel ini sangat bertepatan untuk menggerakkan tindakan bersama bagi menangani isu-isu sosial di Sarawak, khususnya isu penyalahgunaan dadah dan substans di Daerah Kanowit,” ujar beliau.

Sehubungan itu tegas Razi, komitmen dan kesediaan ahli-ahli Biro Menangani Isu Dadah dan Penyalahgunaan Bahan Terlarang (MIDS) mengikut kawasan penghulu dan komuniti setempat sangat penting dan mustahak bagi mencapai matlamat daerah Kanowit Bebas Dadah menjelang tahun 2024.

Mengikut sasaran tersebut, aktiviti penyalahgunaan dadah di Kanowit bakal terkawal pada tahap paling minimum pada akhir tahun 2023  dengan individu terjebak dengan substance di daerah itu dapat dikesan sepenuhnya.

Ini termasuk mendapat akses kepada rawatan, pemulihan dan modal kepulihan yang diperlukan, tambah ADUN Saribas itu.

Razi menyatakan bengkel pelaksanaan pelan tindakan daerah bebas dadah ini adalah program dan intervensi berbentuk penguatkuasaan dan bukan penguatkuasaan untuk menentukan hala tuju tindakan gerak gempur bersepadu ‘One Stop Committee’ (OSC).

Jelasnya, bengkel untuk OSC MIDS Daerah Kanowit ini adalah siri keempat yang dianjurkan oleh OSC MIDS Negeri melalui Majlis Pembangunan Sosial dengan kerjasama OSC MIDS Daerah Kanowit.

“Masalah dadah ini adalah masalah kita semua dan kita tidak boleh menyalahkan kerajaan semata-mata. Ada yang mempolitikkan isu dadah ini dengan menyalahkan kerajaan kerana gagal bertindak.

“Kerajaan memerlukan kita semua berperanan untuk membanteras isu dadah ini. Kalau semua kita bekerjasama serta memainkan peranan masingmasing dengan mengambil bahagian dalam program membanteras dadah, mungkin kita berjaya sekurang-kurangnya menurunkan kadar jenayah dan penagih dadah di negeri ini,” jelasnya. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *