Tempatan

90 peserta Worldskills Malaysia Sarawak 2023 rebut Anugerah Tangan Emas Premier Sarawak

KUCHING: Seramai 90 peserta akan bersaing dalam pertandingan akhir Worldskills Malaysia Sarawak (WMS) 2023 bagi merebut Anugerah Tangan Emas Premier Sarawak.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pertandingan akhir bakal diadakan dari 9 hingga 10 Disember ini.

“Seramai 90 peserta daripada institusi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) layak bersaing merentasi 16 bidang kemahiran pada pertandingan akhir yang akan diadakan di tujuh lokasi iaitu di Institut Kemahiran Malaysia (IKM) Kuching, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Kuching, Universiti UCSI, Sarawak Skills, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Akademi Binaan Malaysia (ABM) Kuching dan AWISAR,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media program berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Rabu.

Roland Sagah memberitahu, tempat pertama akan membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta pingat dan sijil, tempat kedua membawa pulang RM1,500 berserta pingat dan sijil dan tempat ketiga membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 berserta pingat dan sijil.

Tambahnya, pemenang keseluruhan akan menerima hadiah wang tunai RM5,000; Anugerah Tangan Emas Premier Sarawak 2023, trofi, dan sijil.

“Majlis penutup pertandingan Worldskills Malaysia Sarawak 2023 ke-3 akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 11 Disember 2023 di CENTEXS, Santubong,” ujar beliau.

Beliau juga menekankan, pemenang pertandingan tersebut akan layak untuk bertanding dalam Worldskills Malaysia 2024 dan seterusnya akan mewakili negeri dan negara di ASEAN dalam pertandingan antarabangsa ASIA Worldskills.

Worldskills Malaysia Sarawak 2023 ke-3 adalah inisiatif strategik Kerajaan Sarawak untuk mempromosikan 16 bidang kemahiran yang menyumbang kepada 13 sektor tenaga kerja di bawah PCDS 2030.

16 bidang kemahiran itu ialah Teknologi Automobil, Terapi Kecantikan, Teknologi Fesyen, Dandanan Rambut, Memasak, Pastri, Perkhidmatan Restoran, Pemasangan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal CAD, Teknologi Reka Bentuk Grafik, Penyelesaian Perisian IT untuk Perniagaan, Teknologi Web, Mengecat & Menghias, Penyejukan dan Penyaman Udara dan Kimpalan.

Objektif WMS2023 adalah untuk melahirkan tenaga kerja mahir untuk keperluan industri di Sarawak dengan mengiktiraf belia berkemahiran tinggi; melahirkan juara berkemahiran yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa; meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan masyarakat

mengenai kepentingan kemahiran ke arah pembangunan negara; dan mewujudkan budaya kemahiran-menghormati.

WorldSkills Malaysia Sarawak 2023 telah diadakan dalam dua fasa dimana peringkat kelayakan awal telah diadakan lebih awal iaitu dari 28 hingga 31 Oktober 2023, dengan seramai 380 peserta bertanding dalam 16 bidang kemahiran untuk memilih enam peserta terbaik daripada setiap bidang kemahiran.

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknewsofficial/

Tiktok: https://www.tiktok.com/@sarawaknews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *