Tempatan

93,539 pergerakan pesawat, 3.56 juta penumpang pesawat dicatatkan di Sarawak

KUCHING: Sebanyak 93,539 pergerakan pesawat dan 3.56 juta penumpang ke semua lapangan terbang di Sarawak telah direkodkan dari Januari 2021 hingga suku pertama tahun ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, bagi tempoh yang sama, sebanyak 82.3 juta kilogram kargo penerbangan direkodkan di semua lapangan terbang Sarawak termasuk Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport).

“Kekerapan penerbangan telah dikurangkan dengan ketara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020 bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19 di Sarawak.  

“Bagaimanapun dengan penarikan penutupan sempadan berikutan keadaan COVID-19 yang bertambah baik di negara ini, kekerapan penerbangan telah meningkat secara beransur-ansur tidak seperti yang diuar-uarkan dalam media,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.

Menurut Dato Sri Lee lagi, kementeriannya juga memantau dengan teliti bilangan kekerapan penerbangan masuk ke Sarawak bagi memastikan penerbangan yang mencukupi, sekali gus dapat memenuhi keperluan pengembara dan pergerakan kargo.  

“Sehingga kini, jumlah penerbangan mingguan yang diluluskan ke Sarawak ialah 619 yang terdiri daripada 33 penerbangan antarabangsa dan 586 penerbangan domestik,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, kementeriannya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa penerbangan berkaitan untuk mengkaji kemungkinan meningkatkan kekerapan penerbangan terutama semasa musim perayaan, selain meluaskan liputan penerbangan ke destinasi antarabangsa lain di rantau ini.

“Saya sendiri telah berjumpa dan membincangkan cadangan ini dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan iaitu AirAsia Berhad, Malindo Airways Sdn Bhd, FlyFirefly Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad dan MasWings Sdn Bhd.

“Pada masa sama, kita juga akan mengatur pertemuan untuk mengadakan perbincangan dengan Scoot Tigerair Private Limited dan Royal Brunei Airlines Sdn Bhd mengenai cadangan yang sama,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *