Tempatan

95 gerai di Bazar Ramadan Satok jual pelbagai jenis makanan, minuman

KUCHING: Sebanyak 95 buah gerai disediakan di Bazar Ramadan Satok sepanjang bulan Ramadan ini untuk orang ramai mendapatkan juada berbuka puasa mereka.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, para peniaga di situ menjual pelbagai jenis juadah makanan dan minuman bermula dari hari ini (12 Mac) hingga 9 April 2024.

“Saya lihat tadi, banyak juadah disediakan oleh penjaja kita dan semua kelihatan sedap belaka.

“Sebahagian besarnya adalah makanan tempatan.

“Oleh itu, kita mengalu-alukan warga kota untuk datang ke sini bagi mendapatkan juadah berbuka puasa merek,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian bazar berkenaan hari ini.

Abdul Rahman memberitahu, selain menyediakan tapak Bazar Ramadan Satok, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) turut menyediakan Bazar Ramadan di Semarak dan Sukma Ria.

“Di tapak Bazar Ramadan Semarak, kita ada  45 gerai dan di Sukma Ria kita ada 82 gerai.

“Jumlah keseluruhan peniaga yang mengambil bahagian dalam Bazar Ramadan DBKU pada tahun ini ialah sebanyak 222,” ujarnya.

Selain itu, tambah beliau, DBKU turut menyediakan beberapa Bazar Ramadan lain yang terdapat di sekeliling bandaraya Kuching termasuk di kawasan Kuching Utara yang diusahakan oleh pihak swasta.

“Jadi jumlah kesemuanya ialah 739 penjaja terlibat. Maknanya, jika dicampur kesemuanya, hampir 1,000 penjaja yang mengambil bahagian dalam bazar Ramadan pada tahun ini di kawasan Kuching Utara,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Abdul Rahman memberitahu, piahk DBKU telah memaklum kepada semua peniaga yang mengambil bahagian dalam Bazar Ramadan tahun ini supaya mementingkan beberapa aspek.

“Pertamanya ialah dari segi kebersihan tempat mereka menjaja dimana selepas selesai berniaga, mereka diminta untuk mengumpul semua sisa-sisa makanan serta sampah-sampah dan memastikan tempat mereka berada dalam keadaan yang bersih.

“Keduanya, mereka telah diarahkan untuk mengadakan pemeriksaan kesihatan supaya mereka berada dalam keadaan sihat. Jadi ini antara beberapa perkara yang telah disediakan sebelum kita mengadakan Bazar Ramadan ini oleh pihak DBKU.

Tahun ini, DBKU juga berkolaborasi bersama dengan pihak CCK Fresh Mart, Lee Ming Press Sdn Bhd dan Media Venture Sdn Bhd.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *