Tempatan

Abang Zohari serah kepada Perdana Menteri tetapkan tarikh PRU-15

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan masa sesuai bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pihaknya akan mengikut apa jua keputusan perdana menteri dalam pembubaran Parlimen kerana ia kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Sarawak tidak mempunyai masalah kerana pembubaran Parlimen diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan, jadi terserah kepada perdana menteri,” katanya kepada wartawan ketika ditemui pada Majlis Sambutan Gawai Dayak 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri yang berpendapat sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan PRU-15 kerana negara sedang berdepan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi yang tinggi.

Mengulas mengenai usaha Kerajaan Sarawak untuk menangani inflasi, jelasnya inisiatif yang diambil sudah beliau bentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) minggu lalu.

Abang Zohari berkata pihaknya akan memperkenalkan diskaun ke atas tarif elektrik kepada pengeluaran peruncit makanan termasuk kedai kopi, restoran dan industri lain untuk mengurangkan kos perniagaan sekali gus mengurangkan harga pasaran makanan.

Katanya, semua itu disebabkan oleh ketegangan geopolitik semasa yang membawa kepada inflasi yang diimport dan prestasi ringgit berbanding USD yang merosot 0.7 peratus pada suku pertama 2022.

Katanya, mata wang Malaysia yang semakin lemah akan meningkatkan harga import, sekaligus membebankan kedua-dua pengguna dan pengimport.

Tambahnya memandangkan Malaysia adalah pengimport bersih makanan, inflasi yang diimport telah menyebabkan harga makanan di dalam negeri lebih tinggi. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *