SIBU: Ada segelintir Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan dicalonkan semula untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Menurut Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, tempat mereka akan digantikan dengan muka baharu.
“Ada ahli Parlimen PBB yang telah menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi pada PRU15 akan datang.
“Mereka memberitahu sudah tiba masanya mereka mencari pengganti atau memberi laluan kepada orang lain,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Ke-15 Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Sibu pada Ahad.
Bagaimanapun, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari tidak menyebut penyandang yang akan mengundur diri dalam PRU15 akan datang.
Sebaliknya, akan mendedahkannya apabila tiba masanya kelak.
Mengenai persediaan GPS dalam PRU15, beliau yang juga Premier Sarawak memberitahu pihaknya telah pun bersedia.
“Kita tidak tahu bila PRU15, tetapi ada satu perkara yang penting dalam GPS kita sentiasa bersedia macam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRU12) lepas.
“Kita bersedia, tetapi secara diam-diam. Kerja sahaja supaya rakyat dapat melihat,” katanya.
GPS mempunyai 19 kerusi di Dewan Rakyat iaitu 13 kerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), 3 Parti Rakyat Sarawak (PRS), 2 kerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) dan satu kerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).