KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkelili Dr Johnical Rayong Ngipa merayu Kerajaan Sarawak mempertimbangkan memberi semula peruntukan kerajaan kepada wakil rakyat pembangkang.
Ketika membahaskan ucapan Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin, beliau menjelaskan ini bagi memastikan tiada rakyat khasnya di luar bandar tercicir daripada pembangunan.
Ujarnya lagi, sebelum ini kerajaan turut menyalurkan peruntukan di bawah geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) serta kemudahan-kemudahan lain kepada wakil rakyat Bebas.
“Saya ingin memohon jasa baik Premier Sarawak mempertimbangkan pemberitan peruntukan-peruntukan MRP, RTP (Projek Transformasi Luar Bandar), baik pulih rumah dan sebagainya daripada dana awam kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang.
“Tujuannya untuk ‘intu’ (menjaga) Sarawak dan rakyat khasnya di kawasan diwakili masing-masing.
“Dengan demikian kestabilan politik akan terjamin dan terpelihara untuk Sarawak terus maju serta berjaya menghadapi pascapandemik COVID-19,” katanya.
Ujar Dr Rayong lagi di peringkat kerajaan pusat, Perdana Menteri telah menyalurkan peruntukan dana kepada wakil rakyat pembangkang.
“Semasa saya masih menjadi wakil rakyat Bebas pada awal 2006 hingga 2009 sebelum menyertai BN (Barisan Nasional), saya juga telah diberi peruntukan MRP dan kemudahan-kemudahan lain sama seperti wakil rakyat BN oleh Ketua Menteri ketika itu.
“Oleh itu saya berdoa dengan budi baik Premier Sarawak akan mempertimbangkan permohonan ini demi rakyat dan negeri Sarawak dalam gambaran yang lebih besar,” ujarnya.