Tempatan

Agama, intelek dan pengurusan, tiga aspek utama dalam membangunkan Sarawak

KUCHING: Agama, intelek dan cara menguruskan pembangunan adalah tiga aspek penting yang menjadi kunci dalam pembangunan negeri Sarawak, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri ( Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Beliau berkata, aspek tersebut menjadi landasan utama dalam menghadapi cabaran dan membangun Sarawak untuk lebih maju dan harmoni.

“Tiga aspek ini adalah perlu sekiranya anda ingin maju ke hadapan. Untuk Sarawak, kita sangat bertuah kerana kita ada masyarakat Islam serta bukan Islam dan kita diberi amanah untuk menguruskan dengan Perlembagaan Islam menjadi panduan kita. Kita mesti berlaku adil kepada mereka di bawah kita.

“Sebagai Premier Sarawak, saya dan rakan-rakan saya menggunakan (aspek) ini sebagai asas untuk kita menggubal dasar yang akan memberi manfaat kepada orang Islam dan juga bukan Islam.

“Kita amat bertuah kerana sikap saling menghormati budaya, kepercayaan dan tradisi menjadi asas kepada kita untuk membina Sarawak sebagai sebuah kerajaan (negeri) yang sangat adil dan stabil untuk memerintah Sarawak.

“Kami mempunyai jabatan agama yang menjaga masyarakat Islam dari semua aspek secara langsung dan kami juga mempunyai Unit Agama-Agama Lain (UNIFOR) iaitu unit khas untuk mentadbir dan membantu masyarakat bukan Islam.

“Ini kerana kita menghormati semua masyarakat sama ada masyarakat yang beragama Islam dan bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Ijtimak Ilmuwan Islam Antarabangsa di Dewan Kompleks Islam Kuching di sini pada Selasa.

Menjelas lanjut mengenai aspek itu, Abang Johari berkata, aspek pertama iaitu agama adalah penting untuk membentuk sistem nilai masyarakat.

“Nilai itu mesti diutamakan dan mesti dominan dalam cara kita menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat. Islam telah memberikan kita jalan yang benar. Jika anda berpegang pada Piagam Madinah, ketika nabi kita berhijrah dari Mekah ke Madinah apa yang dilakukan baginda ialah menubuhkan kerajaan yang adil kepada semua iaitu kepada orang Islam dan bukan Islam dan juga untuk memberikan tadbir urus yang adil kepada rakyat di bawah kerajaan Islam.

“Kita tahu bahawa Piagam Madinah adalah konstitusi pertama yang benar-benar memberi nilai kepada manusia. Anda tahu penghormatan kepada wanita, keadilan dan pertumbuhan yang seimbang adalah sangat asas tentang cara kita mentadbir. Dengan kata lain, nilai agama diutamakan bukan sahaja untuk memupuk disiplin diri malah melaksanakan disiplin kepada masyarakat,” ujar beliau.

Premier Sarawak turut menekankan mengenai aspek intelek dan pentingnya pendidikan serta pengetahuan dalam membawa kemakmuran kepada rakyat.

“Rakyat hanya boleh makmur jika dapat memiliki ilmu dan ilmu adalah keutamaan dalam Islam kerana wahyu pertama Nabi Muhammad SAW iaitu surah Al-Alaq juga memberi penekanan kepada bacaan.

“Membaca bermaksud anda perlu membaca semua aspek secara langsung bukan sahaja membaca buku tetapi juga membaca tingkah laku dan juga hubungan antara manusia dengan Tuhan dan manusia dengan manusia.

“Al-Quran menjadi petunjuk dan platform untuk berkhidmat kepada manusia bagi Premier Sarawak dalam melayani masyarakat dan memenuhi keperluan mereka kerana ia benar-benar merangkumi setiap perkara yang mungkin diperlukan. Oleh itu, intelek adalah penting dan diutamakan untuk berkhidmat kepada masyarakat,” jelasnya.

Aspek ketiga pula yang dijelaskan oleh Premier Sarawak adalah mengenai cara menguruskan pembangunan secara efektif.

Beliau menekankan perlunya menggunakan tiga aspek sebelumnya (agama, intelek, dan pengurusan) sebagai landasan dalam mencari solusi dan mengurus semua alat pengurusan, sama ada pengetahuan dan bentuk fizikal.

Dengan mengintegrasikan ketiga aspek ini, Premier Sarawak percaya bahawa pembangunan yang seimbang dan berdaya maju dapat dicapai, di mana setiap elemen saling bergantung satu sama lain.

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *