SIBU: Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Andy Ting maut selepas kereta yang dipandunya melanggar penghadang besi sebelum terjunam ke dalam Sungai Batang Rajang, dekat sini, malam tadi.
Kejadian yang berlaku di hadapan sebuah hotel terkenal di Lorong 4, Jalan Lanang itu disedari tetamu yang menginap di hotel itu dan kemudian memaklumkan kepada petugas hotel.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Suna Kaha berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.02 tengah malam tadi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan dan kereta itu berjaya dikesan selepas anggotanya melakukan selaman kali kesembilan.
“Operasi SAR telah dilakukan secara ‘water surface rescue’ sejak awal pagi namun keadaan gelap menyukarkan pencarian.
“Selepas disambung pada pukul 7 pagi tadi, pasukan berjaya mengesan kereta berwarna putih itu pada pukul 2.55 petang.
“Mayat dapat dikeluarkan pada pukul 4.04 petang dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.