Menarik Nasional

Akaun 2 KWSP dijadikan sokongan sebagai pinjaman peribadi

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan inisiatif terbaharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ia berkait penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli KWSP sebagai sokongan untuk membuat pinjaman peribadi daripada sistem perbankan bagi mereka yang memerlukan bantuan tunai.

“Pada masa ini, KWSP sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan ini dan akan mempertimbangkan semua faktor yang relevan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.

“Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan kemudahan ini akan diumumkan oleh KWSP pada masa yang akan datang,” memetik kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023), Anwar mengemukakan cadangan supaya KWSP memberi ruang kepada pencarum yang mempunyai baki akaun mencukupi serta terdesak untuk meminjam wang dari bank dengan jaminan cagaran wang agensi berkenaan.

“Ramai ahli-ahli Yang Berhormat bangkitkan isu ini, saya menerima baik teguran-teguran ini. Tapi kita kena ingat prinsip KWSP adalah untuk simpanan hari tua. Prinsip saya ialah wang KWSP adalah untuk simpanan hari tua dan kita beri kelonggaran zaman COVID-19, malah negara yang memberi kelonggaran sama juga sudah membatalkan kaedah itu.

“Pada prinsipnya saya tidak bersetuju dengan pengeluaran dana simpanan tua ini. Oleh itu saya cadangkan untuk kita perkenalkan satu kaedah bagi memudahkan mereka yang terdesak.

“Maka saya akan pastikan mereka yang mempunyai wang di dalam KWSP dan dalam keadaan terdesak meminjam dari bank dengan jaminan cagaran dari agensi berkenaan,” memetik ucapan Anwar.-ASTRO AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *