KUCHING: Kisah seorang pemuda dari daerah Pakan yang tular baru-baru ini apabila menjalani temuduga kemasukan universiti secara atas talian di dalam hutan demi mendapat capaian internet akhirnya membuahkan hasil apabila dia diterima memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff mengesahkan Frank Steward kini secara rasmi merupakan pelajar universiti tersebut.
“Tawaran itu memberi peluang untuk Frank menjadi seorang pendidik yang akan kembali berkhidmat di negeri kelahiran, sekali gus dapat membantu mengubah nasib dan masa depan keluarga.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Frank Steward yang memilih UPSI sebagai destinasi pengajian peringkat ijazah pertamanya dan berharap dapat belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar cemerlang,” katanya.
Frank Steward Panting Sa yang berusia 21 tahun itu merupakan anak kepada seorang petani dan merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Augustine di Betong.
Sementara itu, Frank yang ditemui berasa amat gembira dan terharu setelah menerima berita dirinya diterima menyambung pelajaran di UPSI peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) bagi sesi 2022/2023.
“Saya berharap dapat mengikuti pembelajaran dengan baik dan menjadi pendidik yang berjasa kepada negara suatu hari nanti.
“Peluang melanjutkan pelajaran ini bukan sahaja untuk saya, malah keluarga terutama ayah yang banyak berkorban bagi memastikan saya dan adik-beradik lain menerima pendidikan terbaik, walaupun kami tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.
Kisah Frank Steward menghadiri temu duga dalam talian itu tular di media sosial baru-baru ini selepas ayahnya berusaha mendirikan khemah di kawasan Bukit Kelingkang yang didaki mereka selama dua jam demi memastikan anaknya itu mendapat capaian internet ketika menghadiri temuduga secara dalam talian.
Kegigihan petani itu dikongsi seorang lagi anaknya, Mario, yang juga abang kepada Frank Steward, menerusi media sosial hingga menarik perhatian ramai netizen.-SN