Nasional

Akta 715 diharap dapat akhiri manipulasi & penindasan dalam industri teksi & e-hailing

KUALA LUMPUR: Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) menyambut baik tindakan kerajaan dalam meminda Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 iaitu, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715). 

Katanya, dengan pindaan Akta 715 itu akan dapat mengakhiri manipulasi dan penindasan dalam industri teksi dan e-hailing di negara ini.

Dalam masa sama, pindaan akta itu tidak hanya digunakan untuk mengawal selia kadar bayaran penghantaran barangan dan makanan, sebaiknya digunakan bagi mengakhiri manipulasi dan penindasan dalam industri teksi dan e-hailing yang masih berlarutan.

“Kami merakamkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri atas usaha yang dilakukan.

“Kami yakin kebajikan penunggang perkhidmatan penghantaran barangan atau makanan menggunakan motosikal (p-hailing) akan lebih terjamin.

“Ini sekali gus mengakhiri perbuatan tidak bertanggungjawab pihak syarikat yang selama ini memanipulasi dan menindas pekerja p-hailing,” katanya.

Ujar GTSM lagi, walaupun mereka berada dalam industri perkhidmatan teksi, tetapi Akta 715 ini turut digunapakai dalam p-hailing.

“Kami pernah bergabung dan membuat memorandum bersama pada 2 Februari 2020 dengan membuat tuntutan supaya kerajaan mengawal selia kadar pendapatan pekerja p-hailing.

“Namun malangnya kerajaan pada masa itu langsung tidak mempedulikan nasib kami,” katanya.

Jika dahulu kebanyakan mereka yang terlibat dalam perkhidmatan e-hailing ini sebagai pekerjaan sampingan, tetapi hari ini ramai di kalangan mereka menjadikannya suatu kerjaya tetap selepas kesan pandemik COVID-19. 

Pada masa sama, GTSM berharap kerajaan akan memperhalusi dan menerima cadangan mereka supaya kerajaan sendiri memiliki aplikasi e-hailing untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *