KUCHING: Usaha pengambilalihan saham syarikat penerbangan MASwings di antara kerajaan Sarawak dengan Khazanah Nasional Berhad adalah bagi memenuhi keperluan rakyat Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha berkenaan juga tidak bermotif untuk mendapat keuntungan.
“Ia adalah perkhidmatan yang penting dan kita telah membuat kos dan faedah serta risiko apabila kita mengambil alih laluan ini dan juga syarikat MASwings.
“Pendirian negeri Sarawak ialah ia bukan bermotifkan keuntungan kerana rakyat berhadapan dengan isu kadar tambang pada musim pesta dan perayaan, rupa-rupanya syarikat penerbangan yang lain mengambil peluang untuk menaikkan tambang.
“Akan ada satu perkhidmatan yang boleh digunakan oleh rakyat kita dengan kadar harga mengikut kemampuan mereka.
“Bermakna, kita boleh stabilkan tambang dalam kalangan syarikat penerbangan yang terbang antara Sarawak, Semenanjung Malaysia khususnya untuk pelajar dan keluarga kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan di sini pada Khamis.
Abang Zohari menambah, selain itu, pengambilalihan berkenaan juga adalah bagi membangunkan ekonomi di negeri ini di mana Sarawak memerlukan satu perkhidmatan yang harus dapat digunakan oleh komuniti perniagaan dan juga rakyat.
“Ini akan merangsangkan pembanguan ekonomi kita. Saya mesti menekankan bahawa komuniti perniagaan memerlukan ini, pelabur-pelabur berkehendakkan ini.
“Pelabur akan datang dengan kemudahan yang dapat kita sediakan,” ujar beliau lagi.
Premier Sarawak juga memberitahu, sektor pelancongan juga akan dapat dilonjakkan menerusi pengambilalihan ini.
Ketika ditemui media, beliau memberitahu, ketika ini rundingan di antara kedua-dua pihak giat dijalankan.
“Kita (kerajaan Sarawak) juga ditawarkan oleh kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih MASwings.
“Jadi bagi saya, kita boleh mengambil alih syarikat MASwings dengan sokongan kerajaan Persekutuan.
“Dan, pada kita, rundingan sedang berjalan di antara kita dengan pihak Khazanah Nasional Berhad berkaitan butiran apabila kita mengambil alih MASwings.
“Saya telah sebutkan tadi dua syarat kita iaitu MASwings tidak ada hutang dan MASwings bukan sahaja memberi laluan kepada laluan domestik Sabah dan Sarawak tetapi juga merangkumi laluan antara wilayah Semenanjung,” katanya.
Kredit foto: UKAS
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/