Tempatan

Ambil bahagian secara aktif dalam ekonomi hidrogen: Premier Sarawak

KUCHING: Rakyat Sarawak perlu mengambil bahagian secara aktif dalam ekonomi hidrogen supaya dapat menguasai semua teknologi dan mendahului mereka yang lain apabila ekonomi bahan api itu berkembang secara global.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata dengan pengenalan teknologi hidrogen, pekerjaan baru yang berkemahiran tinggi diperlukan untuk menampung keperluan tenaga kerja dalam sektor pengeluaran kepada pengendalian keselamatan dan aplikasi yang lebih baru berasaskan hidrogen.

Tegasnya, ini juga memacu penciptaan perniagaan dan fungsi baharu untuk menyokong teknologi baharu tersebut.

“Beberapa pengunjung terkejut apabila mengetahui Sarawak sudah mempunyai kemudahan pengeluaran gas hidrogen di Bintawa yang merupakan sebahagian daripada program penyelidikan kita.

“Saya rasa kemudahan itu adalah kemudahan hidrogen pertama di seluruh Asia Tenggara.

“Ini serupa dengan bagaimana rakyat Sarawak terdedah kepada industri minyak dan gas lebih daripada 100 tahun yang lalu namun paling dikehendaki di seluruh dunia kerana berkemahiran tinggi dan berpengetahuan dalam bidang minyak dan gas,” katanya berucap semasa merasmikan Stesen Pelbagai Bahan Api Petros Darul Hana di sini pada Jumaat.

Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, ekonomi hidrogen akan menyumbang besar kepada kesejahteraan ekonomi negeri ini ketika Sarawak sedang beralih dari kebergantungan terhadap industri tradisional yang bergantung kepada sumber asli dan bahan api fosil.

Dalam hal ini, beliau amat berterima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan SEDC Energy kerana mengambil alih pembangunan stesen pelbagai bahan api Sarawak sendiri yang bukan sahaja berbeza dengan stesen minyak yang lain malah mempunyai masa depan yang mampan.

“Inilah visi yang saya ada untuk Sarawak terutamanya dalam matlamat masa depan yang mampan dan tenaga baharu dan ekonomi baharu di mana penubuhan stesen pelbagai bahan api ini merupakan satu peristiwa penting dalam merealisasikan wawasan ini.

“Ini visi saya dan saya percaya visi semua rakyat Sarawak, untuk melihat stesen minyak kita sendiri, jenama Petros. Dan hari ini, dengan pelancaran stesen pelbagai bahan api ini, Ahamdullillah sudah menjadi kenyataan,” katanya.

Tambah Premier Sarawak lagi, stesen pelbagai bahan api itu juga menunjukkan kesungguhan Sarawak untuk memacu pengurangan pelepasan karbon yang menyebabkan pencemaran dan untuk memastikan generasi masa hadapan mewarisi persekitaran yang bersih dan sihat.

Petros atau Petroleum Sarawak Berhad adalah setesen pertama di Malaysia menyediakan perkhidmatan pengisian bahan api bersepadu 3 dalam 1 untuk keperluan kenderaan termasuk bahan api fosil, elektrik dan hidrogen.

Prapembukaan stesen tersebut telah dilancarkan Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Datuk Husain pada 19 Mac lepas. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *