Nasional

Anak angkat dan individu yang lahir sebelum merdeka diberikan keutamaan mendapatkan status warganegara

SEREMBAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengutamakan anak angkat dan individu yang lahir sebelum merdeka untuk mendapatkan status warganegara.

Menurut menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, permohonan bagi kategori anak angkat paling banyak diterima dengan 133,436 permohonan yang masih diproses setakat ini.

Katanya, bagi kategori yang lahir sebelum merdeka juga perlu diberikan keutamaan kerana rata-rata mereka yang terbabit sudah mencecah usia 70 dan 80 tahun dengan 3,000 permohonan.

“Kita (KDN) bertekad untuk memberikan keutamaan kepada kategori anak angkat yang paling banyak diterima dan ada kalangan mereka ini membuat permohonan sejak lebih 12 tahun lalu.

“Bayangkan kesan kepada mereka selama ini dan apabila kita mengeluarkan surat kelulusan warganegara ini bermaksud akses kepada pendidikan, kesihatan dan apabila mereka menamatkan pekerjaan nanti, kehidupan akan menjadi lebih kepastian,” katanya selepas merasmikan Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam mempertimbangkan proses memberi warganegara itu pegawai KDN mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Permohonan itu akan ditapis oleh jawatankuasa panel kewarganegaraan yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Dasar,” katanya.

Sehubungan itu, KDN menyasarkan untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan bagi mendapatkan status kewarganegaraan sehingga akhir tahun ini.

“Setakat tiga bulan ini, saya sudah meluluskan 6,079 permohonan kewarganegaraan,” katanya.

Hadir sama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusof.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *