Nasional

Anak veteran tentera berpeluang lanjut pelajaran di UniRazak secara percuma

BERA: Anak veteran tentera berpeluang melanjutkan pelajaran di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) secara percuma untuk tempoh setahun dengan kos pengajian ditanggung oleh universiti berkenaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, program itu akan membabitkan 2,500 anak veteran tentera bagi tempoh lima tahun dengan perbelanjaan untuk seorang pelajar dijangka RM12,500 bagi tempoh setahun, sebelum pelajar terbabit boleh memilih untuk kekal di universiti itu atau melanjutkan pelajaran ke universiti lain.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga secara dasarnya bersetuju untuk memberi bantuan RM500 untuk mereka yang menjaga pasangan yang terlantar sama ada isteri atau suami, iaitu inisiatif yang dirundingkan semasa beliau menjadi Menteri Kanan Pertahanan.

“Kerajaan tidak pernah melupakan jasa veteran terhadap negara. Kita pasti membantu dalam apa jua segi bagi mengurangkan beban dihadapi veteran. Kita mahu pastikan kebajikan veteran terjaga sebab mereka selama ini bersabung nyawa mempertahan negara.

“Saya juga sentiasa terbuka untuk berjumpa dengan mana-mana pihak untuk berbincang mengenai isu yang membabitkan hal ehwal veteran kerana isu ini amat dekat dengan saya,” katanya semasa berucap merasmikan Pejabat Pentadbiran Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV ATM) Cawangan Bera di Taman Merbau Indah di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Datuk Dzulkarnain Ahmad dan Pengarah JHEV ATM Pahang, Mejar Khairul Ashinar Azid@Aziz.

Selain isu kebajikan, Perdana Menteri berkata, isu perumahan veteran juga antara fokus utama beliau supaya golongan berkenaan dapat memiliki rumah yang selesa, dengan kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited menyediakan kuota khas kepada warga pertahanan, termasuk veteran bagi setiap projek rumah mampu milik yang dilaksanakan.

Menurutnya, ini termasuk di Bera, apabila 1,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dijadual dibina di daerah ini, dengan beliau meminta supaya peruntukan khas diberikan kepada golongan veteran tentera.

“Antara fokus utama saya sejak menjadi Menteri Kanan Pertahanan ialah isu perumahan. Bayangkan perasaan veteran apabila mereka masih menjadi tentera, berada jauh di sempadan atau hutan tetapi rumah keluarga mereka berada dalam keadaan yang tidak selesa.

“Ini sudah pasti memberi kesan kepada mereka walaupun kita tahu semangat juang mereka kuat. Sebab itu, kita fokus dan beri tumpuan untuk memastikan mereka mempunyai rumah yang selesa dan baik,” katanya.

Pada program itu, Ismail Sabri turut meluluskan peruntukan RM20,000 kepada persatuan veteran tentera Bera bagi urusan pengurusan dan pentadbiran persatuan yang sudah mula beroperasi sejak 2016. –BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *