Tempatan

Angpau kepada pasangan baharu kahwin, bayi baharu lahir

SIBU: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan tampil dengan idea kreatif dalam membantu meringankan beban rakyat di konstituensi tersebut.

Ia menerusi dua program komuniti yang dilancarkan pada Khamis sempena perasmian Pusat Khidmat N54 Pelawan yang baru, demikian menurut wakil rakyatnya, Micheal Tiang Ming Tee.

Katanya, program pertama adalah bantuan RM500 kepada pasangan yang baharu melangsungkan perkahwinan dengan salah seorang daripada mereka adalah pengundi di DUN Pelawan.

Manakala program kedua katanya adalah bantuan RM300 di bawah program bayi baru lahir yang diberikan kepada ibu bapa yang mana salah seorang daripada mereka juga adalah pengundi di DUN Pelawan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II menjelaskan permohonan itu hanya layak untuk perkahwinan atau bayi yang didaftar atau dilahirkan mulai Januari 2022.

“Mereka boleh memohon secara atas talian di N54 Pusat Khidmat Pelawan google form atau boleh datang ke pusat khidmat kita untuk mendapatkan ‘angpau’ di mana kita akan memberi pasangan yang baharu berkahwin ini RM500.

“Satu lagi pakej adalah untuk bayi yang baharu lahir di mana jika ibu atau bapa bayi berkenaan merupakan pengundi di DUN Pelawan, mereka boleh memohon bantuan sebanyak RM300 di dengan datang ke pusat khidmat atau secara atas talian,” katanya kepada media selepas merasmikan Pusat Khidmat N.54 Pelawan pada Jumaat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II menjelaskan pusat khidmat itu juga telah melantik Ketua Masyarakat (Kapitan) yang baharu dan ditempatkan di situ secara bergilir-gilir untuk membantu orang ramai.

Tambahnya, orang ramai tidak perlu bimbang untuk menghubungi pusat khidmat tersebut kerana pihaknya menyediakan pelbagai kaedah iaitu secara atas talian, menggunakan aplikasi whatsapp atau pergi terus ke pusat berkenaan.

Pusat Khidmat Pelawan dibuka kepada orang ramai dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat, manakala pada hari Sabtu akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 12 malam dan akan ditutup pada hari Ahad dan cuti umum. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *