Nasional

Annuar Musa perbaharui kerjasama telekomunikasi Malaysia-Indonesia

JAKARTA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa bertekad untuk memperbaharui kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam bidang telekomunikasi serta informasi agar lebih dinamik seiring dengan kepesatan perubahan landskap teknologi.

Beliau berkata skop kerjasama yang bakal diperluas termasuk teknologi 5G, perkhidmatan satelit, kabel dasar laut, keselamatan siber, ekonomi digital dan pembangunan kandungan.

“Pertemuan ini sangat penting kerana ia menandakan satu permulaan baharu yang kita harap lebih dinamik dan terkini yang boleh disusuli,” katanya kepada Bernama selepas melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatan beliau iaitu Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Johnny Gerrard Plate pada Khamis.

Annuar berkata hubungan istimewa kedua-dua negara sangat erat dalam pelbagai bidang berkaitan telekomunikasi menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Penerangan Malaysia dan Departemen Penerangan Republik Indonesia yang ditandatangani pada 13 Julai 1984.

“Kita telah ada MoU bertulis yang menghuraikan skop dan bidang-bidang kerjasama tetapi kemudiannya kerana perubahan politik yang berlaku di Indonesia dan Malaysia, kita seperti hilang fokus sedikit.

“Banyak perkara tertumpu kepada hal domestik, sebab itu lawatan saya bertujuan untuk membuat perbincangan semula dengan Menteri Johnny dan menghidupkan semula rangkaian kerjasama,” katanya.

Beliau juga mahu kerjasama Radio Televisyen Malaysia dan Televisi Republik Indonesia diperbaharui melalui pertukaran kandungan serta bahan berita.

Pada pertemuan itu, Annuar turut mengundang rakan sejawatnya untuk menghadiri sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang dijangka diadakan pada 26 hingga 29 Mei di Melaka.

Pada 30 Nov lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan mengiktiraf 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2021.

Annuar berada di Jakarta untuk menyertai sambutan kemuncak Hari Pers Nasional (HPN) 2020 di Kendari, Sulawesi Tenggara secara maya pada Rabu, yang turut disertai Presiden Indonesia Joko Widodo.

Beliau diiring Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq dan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Mastura Ahmad Mustafa.

Turut serta termasuk Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia Datuk Mokhtar Hussain, Timbalan Ketua Pengarang (Perniagaan dan Kewangan) Bernama Roslan Ariffin dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Dr Fadhlullah Suhami Abdul Malek. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *