Tempatan

Aplikasi ‘Baitulmal Kamek’ berjaya tingkatkan pungutan zakat fitrah dan zakat harta

MIRI: Aplikasi ‘Baitulmal Kamek’ yang telah dilancarkan dalam fasa pandemik COVID-19 telah berjaya meningkatkan trend pembayaran zakat fitrah dan zakat harta secara atas talian. 

Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Datu Abang Mohamad Shibli Abang Mohamad Nailie berkata, perkara tersebut merupakan satu perkembangan yang positif dalam usaha pihaknya mengumpul lebih banyak kutipan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

“Sejak pandemik COVID-19 kita telah dapat menggunakan kaedah yang baru di mana orang ramai boleh membayar secara atas talian melalui aplikasi Baitulmal Kamek dan beberapa saluran infrastruktur bayaran yang dilakukan oleh perbankan dan juga saluran e-wallet serta portal yang lain.

“Jadi setakat ini saya boleh katakan dari tahun ke tahun, ia meningkat. Khususnya membayar fitrah dan zakat harta. Ini adalah satu perkembangan yang baik dan Insya-Allah pada tahun-tahun yang akan datang, sambutan daripada masyarakat yang sudah terdedah dengan kaedah pembayaran di atas talian ini akan lebih bertambah,” katanya semasa berucap pada Majlis Iftar Perdana Bersama Asnaf Tabung Baitulmal Sarawak di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Baitulmal juga masih meneruskan kutipan  bayaran zakat fitrah melalui amil yang dilantik bagi mereka yang lebih selesa dan memilih untuk melakukan tuntutan itu dengan kaedah tradisional.

“Kita tidak dapat menafikan kutipan melalui amil untuk zakat fitrah masih kita teruskan kerana kita dapati bahawa ada lagi generasi kita, orang tua dan sebagainya yang sudah sebati dengan kaedah secara tradisi,” jelasnya.

Pada majlis itu, TBS telah menyerahkan bantuan kewangan berjumlah RM67,980 kepada 28 orang penerima dan tiga pusat tahfiz bagi meringankan bebanan pada Ramadan ini serta sebagai persediaan menyambut Syawal yang bakal tiba.

Sehingga 28 Februari lepas, sebanyak RM13.02 juta hasil agihan zakat telah diagihkan kepada asnaf melalui empat program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah. 

Exit mobile version