KUCHING: Kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) Sarawak akan dinamakan ‘bulan’, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Beliau berkata, ia bersempena dengan salah satu daripada tiga lokomotif yang pernah wujud di Kuching pada zaman pemerintahan Rajah Charles Brooke.
“Satu daripada lokomotif itu dinamakan ‘Bulan’ manakala satu lagi dinamakan ‘Bintang’.
“Justeru, ART pertama kita juga akan dinamakan ‘Bulan’ cumanya ia merupakan pengangkutan awam moden yang menggunakan roda, berjalan di trek maya di lorong khusus di jalan raya, dan menggunakan hidrogen,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Bangunan Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) di sini pada Jumaat.
Premier Sarawak menjelaskan, nama berkenaan akan menjadi peringatan kepada sejarah penting laluan kereta api lama Sarawak yang pernah berkhidmat di Kuching pada awal abad ke-20 di Jalan Keretapi yang kini dikenali sebagai Jalan Tun Ahmad Zaidi.
Sementara itu, Abang Zohari turut mendedahkan bahawa Lot Letak Kereta di Padang Pasir akan dijadikan stesen utama ART.
Ujarnya, ini kerana ART berkenaan yang akan datang akan bergerak dari Samarahan ke Kuching melalui Jalan Keretapi yang kini dikenali sebagai Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di mana tempat itu dahulunya mempunyai tiga lokomotif.
Untuk rekod, prototaip ART Sarawak dijangka tiba di Kuching pada bulan depan untuk latihan kejuruteraan dan bukti konsep (POC) selama dua bulan di Isthmus di sini pada September dan Oktober sebagai persediaan untuk latihan POC pada November.
Foto: UKAS
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/