Tempatan

Asnaf, anak yatim terima sumbangan FAMA, Agrobank dan PANESA

KUCHING: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Agrobank dan Persatuan Nelayan Sarawak (PANESA) memberi sumbangan kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata, mereka diberi sumbangan berupa makanan dan wang tunai.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan ini kerana turut serta dalam bulan Ramadan untuk memberi kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Bazar Ramadan Medan Niaga Satok dan penyerahan sumbangan berkenaan di sini.

Dalam majlis berkenaan, seramai 16 orang anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Baiturrahman Kuching mendapat zakat dan 13 orang golongan yang memerlukan menerima sumbangan berupa kit makanan.

Bercakap mengenai Bazar Ramadan Medan Niaga Satok, Fazzrudin memberitahu, seramai 72 usahawan terlibat pada tahun ini.

Selain itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) kerana telah meletakkan satu pasukan untuk mengadakan pemeriksaan secara berkala terhadap peniaga-peniaga untuk memastikan bahan-bahan jualan berada dalam keadaan yang selamat untuk dibeli oleh pengguna.

Sementara itu, Pengarah FAMA Negeri Sarawak Ramli Mat Sani dalam kenyataan berkata, Bazar Ramadan MADANI Medan Niaga Satok telah memasuki tahun ke-10 kali penganjuran sejak diperkenalkan pada tahun 2012 oleh FAMA Negeri Sarawak.

Beliau memberitahu, FAMA menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1.5 Juta di Bazar Ramadan MADANI Medan Niaga Satok pada tahun ini.

FAMA telah membuka tiga lokasi Bazar Ramadan FAMA di Negeri Sarawak iaitu di Bazar Ramadan MADANI, Medan Niaga Satok, Bazar Ramadan Pasar Tani Kekal Permai Sibu dan Bazar Ramadan Pasar Tani Medan Betong dengan penglibatan seramai 142 orang usahawan.

Tiga lokasi Bazar Ramadan FAMA ini telah memberi peluang kepada para pengguna mendapatkan pelbagai barangan keperluan dan juadah untuk berbuka puasa.

Aktiviti di Bazar Ramadan tersebut berlangsung sepanjang bulan Ramadan dan menariknya di Bazar Ramadan MADANI Medan Niaga Satok pada hari ini, FAMA mengadakan promosi dan agihan bubur lambuk kepada pengunjung, kaunter

perkhidmatan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tujuan promosi dan hebahan pentingnya aspek keselamatan serta kebersihan dalam penyediaan makanan oleh peniaga untuk pengunjung di Bazar Ramadan.

Selain Bazar Ramadan, FAMA Sarawak juga menyediakan 13 lokasi pasar tani bagi pengunjung berbelanja dalam Semarak Ramadan di seluruh Negeri Sarawak. Pasar tani sebagai ‘Medan Pertemuan Pengeluar Pengguna’ berupaya membantu petani menjual pada harga yang berpatutan manakala pengguna mendapat bekalan barangan yang segar serta berkualiti.

Terdapat beberapa penambahbaikan untuk memastikan pengunjung dapat berjimat dimana dimasukkan program Jualan Agro MADANI yang menawarkan penjimatan 10 peratus hingga 30 peratus pada beberapa produk utama.

Selain pengguna, peniaga turut menerima manfaat sama dengan berupaya menjana pendapatan lebih susulan peningkatan hasil jualan menerusi program Jualan Agro MADANI ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *