Nasional ASNB isytihar pengagihan pendapatan ASB 3 Didik berjumlah RM300 juta

ASNB isytihar pengagihan pendapatan ASB 3 Didik berjumlah RM300 juta

4

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) telah mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM300 juta untuk dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2022.

Pembayaran itu bersamaan 4.25 sen seunit kepada 308,197 pemegang unit yang kini memiliki 7.06 bilion unit, kata Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam satu kenyataan hari ini.

ASNB merupakan syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB.

Menurut PNB, pengagihan pendapatan ASB 3 Didik mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 1.89 peratus sebanyak 236 mata asas.

Sehingga 24 Jun 2022, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM412.65 juta, diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

Pelaburan antarabangsa masih merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan sebanyak 23 peratus dan kekal melebihi 20 peratus daripada keseluruhan portfolio, kata PNB.

“Walaupun pasaran menghadapi pergolakan dan ancaman inflasi, PNB kekal teguh dalam memajukan kesejahteraan pemegang unit dengan mengagihkan pulangan yang mampan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 3 Didik adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut.

Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai, 2022.

Sementara itu, urus niaga ASB 3 Didik telah ditangguhkan buat sementara waktu di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platfom digital dan perbankan internet dari 23 hingga 30 Jun, 2022.

Bagaimanapun, PNB berkata pemegang unit boleh melakukan urus niaga semula di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Julai, 2022.- BERNAMA

Previous articleLee Zii Jia tewas seawal pusingan kedua Terbuka Malaysia
Next articleUmat Islam di Malaysia sambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Julai ini
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here