SIBU: Briged Ke-31 Infantri Malaysia menunggu arahan bagi membantu kerajaan dan penguatkuasa awam dalam usaha membanteras aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi ke negeri jiran.
Menurut Panglima 31 Briged Brigedier Jeneral Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid, tugas angkatan tentera darat tidak hanya terhad kepada menjaga keselamatan negara semata-mata tetapi juga melibatkan hal ehwal dalam negeri.
“Kita sedia membantu pihak berkuasa awam mahupun kerajaan dalam apa juga penugasan kerana tugas dan tanggungjawab kita tidak terhad.
“Betul… kita ada tugas hakiki kita menjaga keselamatan negara tetapi keselamatan dalam negeri juga kita bantu.
“Saya masih tunggu arahan seterusnya daripada formasi atasan,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Ulang Tahun Ke-7 Briged Ke-31 Infantri, Kem Junaco di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai arahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggempur peringkat kilang pembungkusan sehingga ke sempadan negara memastikan tiada penyelewengan berlaku melibatkan minyak peket bersubsidi.
Dalam pada itu, Brigedier Jeneral Abdul Jalal turut memberitahu Briged Ke-31 Infantri juga berkemungkinan akan ditempatkan di Bintulu pada masa akan datang yang merupakan salah satu aset terpenting negeri ini yang harus diberi tumpuan dari segi keselamatan.
Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-7 Briged Ke-31 Infantri, Kem Junaco menyaksikan satu perbarisan diadakan melibatkan 18 pegawai dan 172 anggota lain-lain pangkat.
Turut diadakan penyempurnaan majlis pemakaian pangkat kepada dua pegawai dan 20 anggota lain-lain pangkat semasa perbarisan tersebut.