KUCHING: Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Sarawak pada tahun ini memperlihatkan sesuatu pendekatan yang baharu oleh Jabatan Penerangan Negeri Sarawak yang disemarakkan dengan penglibatan badan beruniform.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia adalah satu contoh kepada masyarakat yang mana pasukan ini dikenali dengan semangat dan sikap disiplin, dan mempunyai nilai patriotisme serta kesetiaan tinggi terhadap negara.
“Pada tahun-tahun sebelumnya, program sebegini melibatkan semua lapisan masyarakat dan pendekatan pada tahun ini yang membabitkan pasukan beruniform dilihat sebagai satu contoh di mana pasukan ini sememangnya dikenali dengan semangat dan sikap disiplin, dan punya nilai patriotisme serta kesetiaan tinggi terhadap negara.
“Apabila melihat kesetiaan anggota-anggota beruniform kepada pasukan masing-masing dan pastinya kepada negara kita Malaysia dan negeri Sarawak, maka saya menyeru agar semangat seperti ini dapat dijadikan teladan sebagai contoh kesetiaan kepada negara dan negeri ini dalam kalangan semua lapisan rakyat di sini tanpa mengira warna kulit, bangsa mahupun perbedaaan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Jalan Badruddin di sini pada Khamis.
Abang Zohari juga menambah, beliau yakin setiap pengisian program yang dianjurkan Jabatan Penerangan bersama agensi-agensi yang lain di sepanjang bulan Ogos sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia akan meningkatkan lagi semangat patrioitisme dan nasionalisme dalam kalangan rakyat di negeri ini.
“Program ini merupakan program yang amat signifikan kepada kita rakyat Malaysia di negeri ini dan saya difahamkan bahawa program pada kali ini menampilkan kelainan menerusi elemen patriotik yang disemarakkan bersama badan beruniform berorientasikan kepada kepelbagaian dalam perpaduan yang juga bersandarkan kepada aspirasi Malaysia MADANI.
“Saya dimaklumkan bermula hari ini, Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 yang melibatkan 35 buah kenderaan daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, GLC dan persendirian akan mula bergerak dari Kuching, menjelajahi setiap pelusuk negeri ini hingga ke Lawas. Malah pada tahun ini, pasukan konvoi juga akan merentasi sempadan Sarawak hingga ke Sipitang bagi bersama-sama dalam pasukan KMJG JAPEN Sabah. Kedua-dua pasukan akan bergabung dalam semangat intergrasi merentas sempadan kedua-dua negeri bagi menyebarkan mesej-mesej kenegaraan kepada seluruh rakyat.
“Lantaran itu juga, saya berharap pada setiap persinggahan konvoi KMJG ini, setiap kalangan masyarakat di negeri ini memberikan sambutan dan sokongan padu kepada konvoi KMJG yang membawa mesej patriotisme dan semangat kebangsaan kepada negara Malaysia,” ujarnya lagi.
Premier Sarawak juga mengajak rakyat Sarawak untuk menunjukkan semangat perpaduan yang mendokong kedaulatan negara ini sepanjang Bulan Kebangsaan berlangsung dan terjemahkan semangat tersebut dengan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap premis kerajaan, swasta atau persendirian, kampung, rumah panjang malah di kenderaan masing-masing.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/