KUCHING: Badi kekalahan kembali menghantui Sarawak United FC (SUFC) apabila sekali lagi terkulai di laman sendiri, kali ini di tangan Negeri Sembilan FC (NSFC).
Dalam pertemuan Liga Super di Stadium Negeri Petra Jaya pada Jumaat, anak buah B. Sathianathan tewas 1-2 meskipun pada satu ketika mendahului dengan jaringan Boris Kok.
Pemain itu menanduk masuk sepakan percuma Lee Chang Hoon pada minit ke-51.
Kealpaan benteng pertahanan tuan rumah dihukum ketua pasukan NSFC, Herold Mark Goulon dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-64.
Gol penyamaan itu membuakkan semangat pelawat untuk melancar serangan bertali arus ke gawang SUFC.
Hasilnya, pemain import NSFC, Matheus Alves Leandro berjaya meletakkan pasukannya di hadapan selepas percubaan derasnya pada minit ke-69 berjaya menembusi gawang SUFC.
Hasrat Kenyalang Emas untuk bangkit semakin malap apabila tonggak pertahanan mereka, Stuart James Wark dilayangkan kad merah dalam masa kecederaan.
Ia kekalahan kelima SUFC dari tujuh perlawanan untuk meletakkan pasukan itu di tangga ke-11 dengan hanya mengumpul 4 mata setakat ini.
Pasukan itu akan meneruskan kempen menentang Pahang FC pada 11 Mei ini. – SN