Nasional

Bahas Laporan Ketua Audit Negara 2021, Dewan Rakyat kecoh

KUALA LUMPUR: Usul kerajaan membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini mencetuskan ketegangan sejurus sesi pertanyaan lisan selesai.

Kekecohan tercetus apabila beberapa wakil rakyat pembangkang termasuk Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) bangkit mempersoal kewajaran usul membahaskan LKAN di Dewan Rakyat.

Keadaan itu mencetuskan pertikaman lidah yang berlarutan hampir sejam antara ahli Parlimen pembangkang dengan penyokong kerajaan.

Ketegangan itu turut mendorong Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengambil alih persidangan daripada Timbalannya, Alice Lau Kiong Yieng.

Takiyuddin ketika mengetengahkan Peraturan 20(2) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, mendakwa usul berkenaan bercanggah Perkara 107 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, katanya, amalan persidangan Dewan Rakyat terdahulu tidak pernah membahaskan LKAN, selain mendakwa ia perlu menjadi peraturan dan undang-undang tidak bertulis untuk tidak membenarkan dokumen berkenaan dibahaskan.

“Atas dasar ini, kami berpandangan usul membolehkan LKAN 2021 dibahaskan bertentangan dengan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ia disokong Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang membangkitkan Peraturan 77(1)(c) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, berkaitan fungsi dan tugas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Bagaimanapun, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang membantah hujah itu, mencelah serta menjelaskan pendekatan berkenaan adalah sebahagian daripada transformasi Parlimen yang ingin dilakukan.

Mengikut aturan urusan mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, usul membahaskan LKAN 2021 dijadual dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023.

Sementara itu, Johari dalam keputusannya membenarkan LKAN 2021 dibahaskan selepas mempertimbangkan Peraturan 100 Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, berkaitan kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Beliau berkata, perbahasan LKAN 2021 bertujuan memberi gambaran jelas kepada rakyat mengenai kesungguhan ahli parlimen membincangkan masalah dihadapi orang ramai secara terbuka.

Selain itu, katanya, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dan 12 ahlinya diarah untuk mengambil maklum berkaitan input dinyatakan sepanjang perbahasan LKAN 2021 berlangsung.

“Saya sebagai bekas pegawai tadbir diplomatik dan Ahli Parlimen kerap mendengar keluhan rakyat, meminta supaya LKAN dibahaskan secara terbuka.

“Apa yang berlaku ialah PAC buat laporan, adakan siri inkuiri dan pelbagai lagi tetapi malangnya tidak banyak yang dilaporkan kepada umum.

“Justeru, saya berasakan laporan ini (LKAN) harus dibincangkan di Dewan Rakyat dan rakyat akan melihat apa yang sedang berlaku, sekiranya (LKAN) gagal (dibahaskan di Dewan Rakyat),” katanya.

Johari turut menyatakan komitmen membahaskan beberapa laporan selain LKAN yang sebelum ini hanya dibentang di meja Ahli Parlimen.

“Soalnya sekarang ialah kita mahu bincangkan laporan (LKAN) yang tidak pernah dibuat dan inilah permintaan di bawah (rakyat) supaya kita bincangkan kedudukan kewangan negara dan kaedah untuk mara ke hadapan.

“Selepas ini, banyak lagi laporan lain yang dibentang di meja Ahli Parlimen yang akan dibawa (dibahaskan) supaya kita lebih terbuka, akhirnya rakyat tahu kita sedang membincangkan mengenai masalah mereka,” katanya.-BERITA HARIAN

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022 

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/ 

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/ 

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news 

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *