SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting Ing Horh memberitahu Sibu antara bandar yang akan menikmati rangkaian internet 5G apabila 88 unit menara 5G akan dipasang Digital Nasional Berhad (DNB) di seluruh bandar itu pada tahun hadapan.
Jelasnya lagi, MPS telah menghantar surat sokongan kepadan DNB bagi menyokong pemasangan menara tersebut.
“DNB akan memasang 88 unit menara 5G di Sibu pada tahun hadapan. Menara ini bukanlah menara setinggi 60 kaki itu tetapi hanya menara kecil bersaiz tiang lampu rumah sahaja. Mereka akan memasang menara tersebut dan ia akan meliputi Sibu dengan jaringan 5G.
“Jadi mereka telah memohon persetujuan MPS untuk memasang menara tersebut kerana ia akan di pasang di tanah milik MPS,” katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPS pada Rabu.
Ujar beliau lagi, pelaksanaan 5G yang lambat di Sibu adalah ekoran DNB menerima aduan daripada penduduk untuk tidak memasang tiang tersebut di kawasan rumah mereka.
Jelasnya, sekiranya tiada bantahan sebelum ini daripada penduduk, Sibu sudah mempunyai sambungan 5G, namun jelasnya hal seumpama itu bukan hanya berlaku di Sibu malah di seluruh Sarawak.