KUCHING: Bangunan Pejabat Pos Besar Kuching yang terletak di tengah bandaraya Kuching akan dijadikan sebuah bangunan warisan yang sentiasa terjaga dan dapat dikunjungi oleh masyarakat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bangunan tersebut merupakan salah satu lot tanah yang akan dikembalikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak.
“Dalam perundingan kita dengan kerajaan pusat di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), satu daripada agendanya adalah mengenai dengan tanah-tanah yang telah diserah kepada kerajaan pusat untuk pembangunan tapi apabila sudah diserah ada yang berlarutan sampai 20 tahun tidak dibangunkan.
“Jadi, dalam perundingan kita, kita telah memohon untuk meminta kembali dan sekiranya premium sudah dibayar, kita akan bayar balik. Jadi alhamdulillah perundingan ini berjalan dengan lancar.
“Satu daripada hartanah yang telah disebut atau akan dikembalikan adalah Pejabat Pos kita.
“Saya cukup gembira sekali kerana bangunan itu adalah bangunan warisan dan sekiranya sudah dikembalikan nanti, kita akan melihat apa yang akan kita lakukan supaya bangunan itu sentiasa akan terjaga dan selain daripada itu dapat digunakan untuk kunjungan oleh rakyat,”katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang media selepas menyaksikan raptai penuh perarakan sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka di Padan Merdeka di sini pada Khamis.
Abdul Karim mendedahkan, Kerajaan Sarawak bercadang untuk menjadikan bangunan berkenaan sama ada sebagai galeri kebudayaan, restoran atau muzium.
“Cadangan itu semua akan kita tentukan pada masa akan datang selepas kita mendapat balik secara fizikal,” ujarnya lagi.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/