Nasional

Bantuan Keluarga Malaysia: PM umum tambahan RM100 bagi isi rumah, RM50 bujang

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM100 bagi kategori isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media khas pada Rabu.

Jelasnya, pertambahan bantuan itu melibatkan peruntukan RM630 juta.

“Hari ini saya ingin mengumumkan BKM tambahan. Seperti kita tahu BKM merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022.

“Ia bagi manfaat golongan B40, setakat ini seramai 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500 pada tahun 2022,” jelasnya.

Tambah Ismail, bayaran tambahan itu akan dibuat bermula 27 Jun depan dalam pembayaran fasa kedua BKM.

“Kerajaan mengambil keputusan menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk bujang.

“Bayaran fasa dua BKM melibatkan peruntukan RM1.11 billion dan setiap penerima BKM menerima RM400. Setiap penerima dengan bantuan tambahan ini, bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

“Bayaran bantuan tunai dibayar bersekali fasa dua BKM, melibatkan peruntukan RM630 juta. Bantuan ini akan dimasukkan ke dalam BKM, maknanya kalau dulu mereka terima RM400, apabila kita masukkan RM100 mereka akan terima RM500,” katanya lagi.

Bayaran tambahan itu jelasnya akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas, bujang dan tiada pasangan serta 3.4 juta individu bujang.-ASTRO AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *