KUCHING: Pink and Teal EmpowHer akan melancarkan Bas Penyelesaian Sehenti (One Stop Solution Bus) yang akan memberikan perkhidmatan ujian saringan dan rawatan kanser serviks di kawasan luar bandar.
Pengasasnya, Dr Abigail Jerip berkata bas tersebut kini sudah siap 80 peratus dan akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Ujar beliau, perkhidmatan tersebut merupakan kerjasama antara Jabatan Premier Sarawak, Pink and Teal EmpowHer dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Kami akan boleh membawa rawatan kepada golongan wanita Sarawak. Bukan sahaja untuk membuat ujian saringan, tetapi juga merawat mereka.
“Kami juga akan membuat ujian saringan dan menawarkan khidmat rawatan pada hari sama,” katanya ketika menyertai kunjungan hormat Pink And Teal EmpowHer terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu dana utama bagi projek tersebut telah disediakan Jabatan Premier Sarawak serta disalurkan oleh Pink and Teal EmpowHer sendiri manakala bas disediakan UNIMAS.
Untuk rekod, pada 2020, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah bersetuju untuk memberi dana RM500,000 bagi merealisasikan projek tersebut, ekoran peningkatan kes kanser serviks di Sarawak, terutama sekali bagi kawasan luar bandar.