Dunia

Bayi umur setahun maut tertelan bateri

LONDON: Seorang bayi lelaki berusia setahun dilaporkan meninggal dunia akibat tertelan bateri kecil yang dikhuatiri daripada sebuah alat permainan kanak-kanak.

Lapor Daily Mail, Hughie McMahon menelan bateri kecil bersaiz butang itu sehingga mengakibatkan darahnya menjadi berasid dan ‘membakar’ lubang sebesar duit syiling di jantungnya.

Ibu bapa mangsa, Christine McDonald dan Hugh McMahon berkata, ketika kejadian mereka mendapati sebutir bateri kecil hilang daripada patung monyet, Swing & Swing milik anaknya.

Menurutnya, Hughie rebah selepas menelan bateri alkali LR44 yang tersekat di kerongkongnya.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Universiti Wishaw dari rumahnya di Motherwell.

Hughie diberikan bantuan oksigen sebelum dipindahkan ke sebuah unit pakar di Hospital Universiti Queen Elizabeth di Glasgow.

Doktor mendapati darah Hughie menjadi berasid dan menemukan lubang terbakar di jantungnya yang sukar dipulihkan.

Ibu bapa mangsa kemudian membuat keputusan melepaskan anak mereka selepas dimaklumkan Hughie hidup hanya dengan bantuan mesin sokongan.

“Pakar bedah memaklumkan Hughie menelan bateri butang yang tersekat di esofagus dan membakar lubang sebesar duit syiling pada jantungnya,” katanya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *